comscore
Tumpuan :
Dunia

Sembunyi bayi dalam beg: Pelajar Malaysia didapati bersalah membunuh di UK

Teo Jia Xin meletakkan bayi yang baru dilahirkannya dalam kotak bijiran yang ditutup plastik sebelum disembunyikan dalam beg pakaian.-FOTO:Polis West Midlands, UK

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang meletakkan bayi yang baru dilahirkannya dalam kotak bijirin, sebelum disembunyi dalam beg pakaian telah disabitkan atas kesalahan membunuh di United Kingdom.

Menurut laporan BBC, Teo Jia Xin, 22, tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry di London.

Dia melahirkan bayi yang cukup bulan pada 4 Mac lalu dan meletakkannya dalam kotak bijirin yang ditutup dengan beg plastik, sebelum menyembunyikannya dalam beg pakaian.

Laporan itu menyatakan bahawa Teo pergi ke hospital dengan menunjukkan tanda-tanda baru melahirkan anak, tetapi menafikannya ketika ditanya oleh kakitangan hospital.

Gadis itu kemudian mengaku telah melahirkan bayi dan hanya memberitahu pihak polis di mana dia menyembunyikan bayi itu dua hari kemudian.

Polis berkata, Teo tidak mendapatkan bantuan perubatan dan melahirkan bayi itu di rumah.

Dia juga merahsiakan perkara itu daripada rakan serumahnya, kerana tidak mahu diketahui keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia sekali gus menjejaskan pelajarannya.

Ketika dibicarakan di mahkamah, Teo mendakwa mendengar suara yang mengarahkannya membunuh atau mencederakan bayi tersebut, tetapi juri di Mahkamah Warwick menolak alasan pembelaannya.

Pihak pendakwaan berhujah bayi itu masih hidup selepas dilahirkan dan berpotensi untuk terus hidup, tetapi Teo membuat keputusan untuk meletakkannya dalam kotak bijirin dengan mengetahui ia akan menyebabkan kematian bayi itu.

Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap Teo.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini