comscore
Tumpuan :
Dunia

Sengsara Gaza, sembelih kuda dan makan dedak demi kelangsungan hidup

FOTO: Reuters

GAZA: Serangan serta bedilan tanpa henti dan kawalan ketat Israel ke atas Gaza terus mengakibatkan krisis kelaparan kian meruncing, sehingga ada antara penduduk terpaksa menyembelih kuda, makan rumput dan dedak ternakan demi kelangsungan hidup.

Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, salah seorang penduduk Palestin menceritakan keadaan sukar itu sehingga memaksanya menyembelih dua ekor kudanya untuk diberi kepada ahli keluarga.

FOTO: Reuters

Tanpa memberitahu sesiapa mengenai daging kuda berkenaan, beliau memasak sebelum menghidangnya kepada keluarga dan jiran.

Kem Jabalia, yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan meliputi kawasan seluas hanya 1.4 kilometer, adalah yang terbesar di Gaza.

Sebelum pencerobohan, air tercemar dan gangguan bekalan elektrik menjadi masalah utama di kem yang padat penduduk itu.

Kini, keadaan diburukkan lagi dengan masalah kehabisan bekalan makanan berikutan agensi bantuan tiada akses ke kawasan berkenaan akibat pengeboman.

Penghuni kem mulai memakan sisa-sisa jagung membusuk, dedak ternakan selain rumput bagi menghilangkan rasa lapar.

Program Makanan Sedunia (WFP) minggu lalu memberi amaran keadaan di Gaza kini semakin bahaya dengan 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Sementara Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran, kekurangan makanan yang membimbangkan selain peningkatan kekurangan zat makanan dan penyakit boleh membawa kepada lonjakan angka kematian dalam kalangan kanak-kanak di Gaza.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini