comscore
Tumpuan :
Dunia

Senjata dan nuklear Rusia sentiasa sedia jika terima ancaman – Putin

FOTO: Reuters

MOSCOW: Senjata nuklear Rusia sentiasa bersedia untuk digunakan jika menerima sebarang ancaman.

Amaran itu disuarakan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang turut mengagumi keupayaan aset perang negaranya itu.

Kremlin sering membangkitkan keupayaan nuklearnya sejak menceroboh Ukraine dua tahun lalu dan bulan lalu ia memberi amaran kepada Barat, wujud risiko yang nyata bagi bencana nuklear berlaku sekiranya ada pihak yang memburukkan konflik.

Kenyataan Putin itu dibuat beberapa hari sebelum pilihan raya Rusia, yang dijangka menjamin kesinambungan pentadbirannya untuk tempoh enam tahun lagi.

FOTO: Reuters

Malah, Putin mendakwa Ukraine meningkatkan serangannya ke atas wilayah Rusia sejak kebelakangan ini untuk mengganggu pilihan raya presiden akan datang kerana Ukraine ‘gagal mencapai sebarang matlamat mereka’ tahun lalu.

Ujar Putin, senjata dan nuklear Rusia lebih moden daripada yang lain, sekaligus menyamakan aset dimiliki itu dengan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai senjata sedemikian, malah tidak menyangkal lebih canggih lagi maju.

Bagaimanapun, jurucakap White House, Karine Jean-Pierre berkata, AS tidak melihat sebarang tanda Rusia merancang atau akan menggunakan senjata nuklear dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) bersetuju meningkatkan sokongan kewangan untuk Ukraine, selepas pertelagahan sejak berbulan lalu berkaitan pakej senjata baharu lima bilion euro (RM25.6 bilion).

Brussels berkata, 28 bilion euro (RM143.6 bilion) sudah dibelanjakan oleh negara anggota dan dari tabung EU untuk menyokong tentera Ukraine sejak Februari 2022.

Sementara itu, satu mesyuarat dipanggil Segitiga Weimar dirancang membabitkan Paris, Berlin dan Warsaw, bagi perbincangan antara Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk dan Canselor Jerman, Olaf Scholz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini