WASHINGTON: Seorang maut dan sembilan lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang di Baltimore County, negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS), menurut polis pada Selasa malam, lapor Xinhua.
“Polis Baltimore County sedang menyiasat insiden tembakan yang berlaku di blok 8500 Loch Raven Boulevard pada petang ini. Beberapa orang telah dihantar ke hospital berhampiran. Ini masih dalam siasatan berterusan,” kata Jabatan Polis Baltimore County di platform X.
Pegawai berkata tembakan rambang itu berlaku di sebuah rumah pengebumian, dan pegawai polis pertama yang tiba di lokasi kejadian menemukan sebuah kereta yang terbalik dan terbakar.
Menurut pihak berkuasa, tiada ancaman berterusan terhadap orang awam dan mengesahkan bahawa tembakan itu adalah “disengajakan dan disasarkan”.
— BERNAMA-XINHUA