comscore
Tumpuan :
Dunia

Seorang maut akibat virus Nipah di Kerala India

Seorang pesakit yang disyaki menghidap jangkitan Nipah, dipindahkan ke wad pengasingan Nipah di Kolej Perubatan Kozhikode di daerah Kozhikode, Kerala, negeri di selatan India. – FOTO: Reuters

KOCHI: Seorang pelajar berusia 24 tahun meninggal dunia akibat virus Nipah di negeri Kerala di selatan India.

Perkara berkenaan disahkan pegawai perubatan tempatan hari ini.

Sehubungan itu, 151 orang yang ada bersentuhan dengan mangsa kini diletakkan di bawah pemerhatian bagi mengelak penularan virus membawa maut itu.

Ini adalah kematian kedua disebabkan oleh Nipah di Kerala sejak Julai.

Nipah diklasifikasikan sebagai patogen keutamaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana potensinya untuk mencetuskan wabak.

Tiada vaksin untuk mencegah jangkitan dan tiada rawatan untuk menyembuhkannya setakat ini.

Sebahagian daripada Kerala adalah antara wilayah yang paling berisiko di seluruh dunia untuk wabak virus itu, berdasarkan siasatan Reuters tahun lalu.

Virus Nipah, yang berasal dari kelawar buah dan haiwan seperti babi, boleh menyebabkan demam yang membawa maut akibat bengkak otak kepada manusia.

Pegawai perubatan daerah di bandar Malappuram, yang terletak di utara Kerala, R. Renuka berkata pelajar terbabit mula menunjukkan simptom demam pada 4 September dan meninggal dunia lima hari kemudian.

“Ujian sampel darah daripada mangsa yang dihantar ke Institut Virologi Kebangsaan di Pune mengesahkan jangkitan Nipah pada 9 September.

“Baki lima lagi mangsa yang mengalami gejala utama jangkitan Nipah telah diambil sampel darah mereka dan dihantar untuk ujian,” katanya, tanpa menyatakan sama ada mereka adalah kenalan utama simati.

Tambah Renuka, hampir 151 orang sedang dipantau untuk sebarang gejala selepas mereka didapati berada dalam senarai kenalan utama mangsa, yang datang dari Bengaluru.

Ini adalah kematian kedua akibat jangkitan Nipah di Malappuram tahun ini selepas seorang budak lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia pada Julai.

Nipah telah dikaitkan dengan kematian berpuluh-puluh orang di Kerala sejak penampilan pertamanya di negeri itu pada 2018.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini