comscore
Tumpuan :
Dunia

Serang Rafah adalah kesilapan besar, tegas Biden kepada Netanyahu

Kem sementara bagi pelarian Palestin di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di mana Israel sudah memulakan serangan darat memburu pejuang Hamas. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu diberi amaran oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang menegaskan, serangan darat di Rafah akan menjadi satu ‘kesilapan’.

Ini kali pertama kedua pemimpin itu bercakap menerusi telefon dalam tempoh kira-kira sebulan ketika ketegangan semakin meningkat berikutan perang Israel-Palestin di Gaza.

Susulan itu, Netanyahu bersetuju dengan permintaan Biden untuk menghantar sepasukan pegawai keselamatan Israel ke Washington untuk membincangkan rancangan menyerang Rafah.

Ketika itu panggilan itu berlangsung, Biden meminta Netanyahu ‘mendengar kebimbangan AS’ mengenai rancangannya berhubung Rafah dan ‘membentangkan pendekatan alternatif’ yang membabitkan serangan bersasar ke atas pemimpin Hamas.

Tekanan daripada AS dan masyarakat antarabangsa, malah penduduk Israel sendiri terhadap Netanyahu semakin memuncak disebabkan angka kematian di Gaza terus meningkat dan krisis kemanusiaan semakin buruk.

Operasi tentera rejim Israel akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia teruk – FOTO: Reuters

Bagaimanapun, Netanyahu mendesak Biden supaya bersetuju dengannya untuk mencapai matlamat perang menghapuskan Hamas yang memulakan serangan pada 7 Oktober ke atas Israel.

Kedegilan Israel enggan mendengar nasihat AS yang juga sekutu kuatnya, menimbulkan masalah kepada Biden, yang turut bimbang isu itu akan menjejaskan peluangnya pada pemilihan Presiden AS November ini.

Kali terakhir kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan adalah pada 15 Februari lalu, di mana Biden menunjukkan isyarat sudah hilang sabar dengan Netanyahu berhubung isu Gaza.

Menurut Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, Biden menjelaskan kepada Netanyahu mengapa beliau begitu bimbang mengenai hasrat Israel melaksanakan operasi ketenteraan besar di Rafah.

“Operasi besar-besaran darat akan menjadi satu kesilapan berikutan ia akan membawa kepada lebih banyak kematian orang awam tidak bersalah.

“Selain itu, operasi terbabit akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia teruk, memperdalamkan anarki di Gaza dan seterusnya meminggirkan lagi Israel pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita.

Penduduk Palestin berkumpul di perkarangan gedung simpanan UNRWA untuk mendapatkan makanan – FOTO: Reuters

Kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin kini sedang berlindung di Rafah, dengan kebanyakannya kehilangan tempat tinggal akibat perang Gaza.

Kata Sullivan, biarpun Netanyahu ‘jelas mempunyai pandangannya tersendirinya mengenai operasi Rafah’ namun menyatakan persetujuan untuk menghantar pasukan tentera, perisikan dan pegawai bantuan dalam beberapa hari ini.

Sementara itu, Netanyahu dalam kenyataannya berkata, selepas panggilannya dengan Presiden AS itu, beliau mengulangi ‘komitmen Israel untuk mencapai semua objektif perang’.

Antara objektifnya, Perdana Menteri Israel itu mahu menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan yang berada dalam genggaman kumpulan itu dan ‘memastikan Gaza tidak sekali-kali memberikan ancaman kepada negaranya’.

Beliau juga merujuk kepada penyediaan ‘bantuan kemanusiaan penting yang membantu mencapai matlamat itu’.

Ketika kekecewaannya terhadap Netanyahu semakin memuncak, Biden secara terang-terangan memuji ‘butiran ucapan baik’ yang disampaikan Ketua Majoriti Senat Demokrat, Chuck Schumer, minggu lalu yang menggesa pilihan raya baharu di Israel.

Menjelaskan sebab kedua-dua pemimpin itu tidak mengadakan sebarang perbincangan selama tempoh 32 hari, Sullivan berkata, Biden hanya akan bercakap dengan Netanyahu ‘apabila beliau percaya ada detik strategik penting’ untuk disampaikan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini