GENEVA: Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med), mengesahkan rejim Israel melancarkan lebih 1,000 serangan artileri mengandungi fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa sejak tercetusnya konflik di Gaza, 7 Oktober lalu.
Menurut Euro-Med, pihaknya berjaya mendokumentasikan penggunaan fosforus putih iaitu bahan bakar yang boleh menyebabkan penderitaan seumur hidup, secara sewenang-wenangnya oleh tentera Israel, di kawasan berkepadatan tinggi di Gaza City dan utara Semenanjung.
Euro-Med turut memberi amaran penggunaan fosforus putih adalah dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan tidak boleh disasarkan kepada atau berdekatan kawasan kediaman yang didiami penduduk atau infrastruktur awam.
Sehubungan itu, organisasi terbabit menggesa penubuhan jawatankuasa penyiasatan antarabangsa bebas terhadap penggunaan senjata larangan oleh Israel terhadap orang awam di Gaza.
Kenyataan itu turut menegaskan, semua pelaku perlu bertanggungjawab termasuk pihak yang memberi arahan, merancang dan melancarkan serangan.
Kumpulan hak asasi manusia itu berpendapat bahan terbabit digunakan rejim Zionis sebagai senjata tambahan untuk meningkatkan pembunuhan secara beramai-ramai dan pindahan secara paksa.
Rabu lalu, Euro-Med mendedahkan mereka menerima testomoni kira-kira 300 serangan bahan fosforus putih dilancarkan Israel ke dataran kediaman yang penuh sesak di bandar Beit Lahia di utara Gaza dalam masa kurang 40 minit.
Terdahulu, laporan mengenai pelbagai bekas fosforus putih direkodkan di kawasan sesak di kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza, malah serangan serupa juga dilaporkan di kem pelarian Al-Shati, barat Gaza, serta kem Jabalia di utara Semenanjung.
Menurut Euro-Med, penduduk Palestin di kawasan terbabit serangan bahan itu mengakui mengalami masalah pernafasan yang teruk selepas terhidu fosforus putih.
Justeru Euro-Med menegaskan Israel terus melanggar prinsip perimbangan dan diskriminasi dengan menyasarkan secara langsung nyawa dan kesihatan orang awam, selain pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan peraturan perang dengan menggunakan senjata yang dilarang di peringkat antarabangsa.