comscore
Tumpuan :
Dunia

Serangan Israel ke atas Rafah cetus ‘anarki’, tidak hapuskan Hamas – Blinken

Warga Palestin yang melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza tiba di Deir el-Balah, tengah Gaza.- FOTO: Reuters

WASHINGTON: Serangan Israel ke atas Rafah di Gaza akan mencetuskan “anarki” (penentangan) tanpa menghapuskan Hamas, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken semalam ketika Washington meningkatkan kempen tekanan terhadap serangan sedemikian.

Kebimbangan AS itu juga disuarakan menerusi panggilan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan kepada rakan sejawatannya dari Israel, Tzachi Hanegbi.

“Sullivan mengulangi kebimbangan Presiden Joe Biden sejak sekian lama mengenai potensi operasi darat ke Rafah, di mana lebih satu juta orang berlindung,” menurut kenyataan White House.

Ketika ini, pengeboman Israel di bahagian timur Rafah sudah menyebabkan 300,000 penduduk Gaza melarikan diri.

Warga Palestin sedang bersiap untuk meninggalkan Rafah di selatan Semenanjung Gaza. – FOTO: Reuters

AS dan negara lain, serta pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga mengecam serangan penuh terhadap Rafah itu boleh memberi kesan buruk kepada pelarian yang sudah dihalau ke sana, kerana kebanyakan mereka hidup dalam keadaan terdesak.

Israel mendakwa, mereka cuba untuk mengekalkan korban awam pada tahap minimum.

Blinken dalam program ‘Face the Nation’ CBS juga ditanya, sama ada AS bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa tenteranya membunuh lebih ramai orang awam daripada pejuang Hamas sejak perang bermula mengakui perkara itu.

Blinken berkata, pencerobohan berskala penuh boleh menyebabkan ‘risiko dengan kos yang sangat tinggi’ dan serangan besar-besaran ke atas Rafah tidak mungkin menamatkan ancaman Hamas.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken – FOTO: Reuters

“Israel berada di trajektori, berpotensi untuk mewarisikan pemberontakan apabila ramai Hamas bersenjata terlepas atau jika mereka pergi, kekosongan itu akan dipenuhi oleh huru-hara, dipenuhi oleh anarki dan mungkin diisi semula oleh Hamas,” katanya.

Blinken juga mengesahkan mengenai komitmen pembekalan senjata oleh Biden, yang mengehadkan 3,500 bom ‘berkapasiti tinggi’.

Beliau berkata, AS akan terus menekan pemimpin Israel untuk menyediakan rancangan untuk Gaza sebaik sahaja perang berakhir.

“Kami sudah bercakap dengan mereka mengenai cara yang lebih baik untuk mendapatkan hasil yang berkekalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini