Tumpuan :
Dunia

Serangan udara Israel bunuh 4, cederakan 23 di Beirut

Foto fail Reuters

BEIRUT: Serangan udara Israel mensasarkan kawasan kejiranan Basta di tengah Beirut pada awal Sabtu, membunuh empat orang dan mencederakan 23 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Empat orang mati syahid dan 23 yang lain cedera dalam serangan udara oleh musuh Israel di kawasan Basta di Beirut,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan serangan itu memusnahkan sepenuhnya sebuah bangunan kediaman di Jalan Al-Mamoun di daerah berkenaan.

Pasukan penyelamat dan responden kecemasan berusaha mengeluarkan mayat dan membantu mangsa yang terselamat di tengah-tengah runtuhan. Beberapa daripada mereka yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan dengan sebahagian daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan dengan Lubnan, melancarkan kempen udara pada akhir September.

Sejak Oktober lepas, lebih 3,600 orang terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan, dengan lebih 15,300 cedera dan lebih 1 juta kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Tel Aviv memperluaskan konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober lalu.-BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini