comscore
Tumpuan :
Dunia

Sharon Stone hilang jutaan wang simpanan selepas strok 2001

FOTO: Reuters

LONDON: Pelakon Amerika Syarikat (AS) Sharon Stone mendedahkan bagaimana orang ramai mengambil kesempatan kewangan ke atas dirinya ketika dia sedang pulih daripada strok yang hampir meragut nyawanya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 2001, bintang “Basic Instinct” itu mengalami strok yang menyebabkan pendarahan otak selama sembilan hari, memaksanya untuk berehat daripada Hollywood selama tujuh tahun untuk pulih sepenuhnya.

“Orang mengambil kesempatan ke atas saya sepanjang tempoh itu,” katanya kepada The Hollywood Reporter.

“Saya mempunyai simpanan sebanyak US$18 juta hasil daripada kejayaan saya, tetapi apabila saya memeriksa akaun bank saya, semuanya telah habis.

“Peti sejuk saya, telefon saya, semuanya atas nama orang lain. Saya tidak mempunyai wang langsung.

”Aktres berusia 66 tahun itu berkata bahawa beliau memilih untuk fokus kepada perkara positif daripada berasa pahit tentang pengalamannya selepas mengalami strok.

“Saya memutuskan untuk terus menikmati masa sekarang dan melepaskan segalanya. Saya memilih untuk tidak berpegang kepada sakit, kepahitan atau kemarahan,” katanya.

“Jika anda menggigit benih kepahitan, ia tidak akan pernah hilang. Tetapi jika anda mempunyai kepercayaan, walaupun sekecil biji sawi, anda akan bertahan. Jadi, saya hidup untuk kegembiraan sekarang. Saya hidup untuk tujuan.

”Stone berkata strok itu telah mengubah sepenuhnya cara otaknya berfungsi.Beliau berkata: “Seorang sami Buddha memberitahu saya bahawa saya telah dijelmakan semula ke dalam badan yang sama. Saya mengalami pengalaman hampir mati dan kemudian mereka membawa saya kembali.

“Selama sembilan hari otak saya mengalami pendarahan, jadi otak saya ditolak ke bahagian depan muka saya. Ia tidak berada di posisi asal di kepala saya.

“Dan semasa itu berlaku, semuanya berubah — deria bau, penglihatan, sentuhan saya. Saya tidak dapat membaca selama beberapa tahun. Semuanya menjadi kabur dan saya melihat corak warna.

“Ramai orang menyangka saya akan mati.”Stone sebelum ini berkata doktor menyangka dia “berpura-pura” mengalami pendarahan otak akibat arteri vertebra yang pecah.Pada 2023, beliau memberitahu majalah Vogue: “Mereka terlepas mendiagnosisnya dengan angiogram pertama dan menganggap saya berpura-pura.

“Kawan baik saya memujuk mereka untuk melakukan imbasan kedua dan mereka mendapati bahawa saya telah mengalami pendarahan dalam otak, seluruh kolam subarachnoid saya dan arteri vertebra saya pecah. Saya akan mati jika mereka menghantar saya pulang.”

Pelakon itu berkata bahawa beliau mengambil ubat setiap hari untuk mengatasi gagap dan sawan otak yang teruk.

Stone tidak berkongsi butiran pendarahan otaknya selama beberapa tahun selepas ia berlaku kerana bimbang akan reaksi orang ramai.

Beliau kini merupakan ahli lembaga Yayasan Neurologi Barrow di AS, yang merawat “keadaan otak dan tulang belakang yang dahsyat”.– BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini