comscore
Tumpuan :
Dunia

Shigeru Ishiba cadang pembentukan ‘NATO’ di Asia

TOKYO: Perdana Menteri Baharu Jepun, Shigeru Ishiba mencadangkan sebuah pembentukan perikatan ketenteraan negara-negara Asia seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ishiba mengemukakan rancangannya dalam satu kertas kerja minggu lalu dan berhujah bahawa perubahan ini akan menghalang China daripada menggunakan kekuatan ketenteraan di Asia.

“Ketiadaan sistem pertahanan kolektif seperti NATO di Asia bermakna perang mungkin akan tercetus kerana tiada kewajipan untuk pertahanan bersama,” katanya.

Cadangan itu disuarakan susulan wujud kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan China di sekitar pulau-pulau di Jepun dan perairan Asia Tenggara.

Ishiba mencadangkan NATO Asia menggabungkan beberapa perjanjian diplomatik dan keselamatan sedia ada, termasuk kumpulan Quad dianggotai Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan India.

Ia termasuk perjanjian AUKUS yang melibatkan Canberra, Washington, dan London, serta kerjasama keselamatan Jepun yang semakin mendalam dengan Korea Selatan.

Perjanjian keselamatan baharu ini, kata Ishiba, juga boleh berkongsi kawalan ke atas senjata nuklear milik Washington sebagai langkah pencegahan terhadap negara-negara jiran Jepun yang bersenjata nuklear.

Bagaimanapun, idea NATO Asia ini telah ditolak Washington, kerana menyifatkan ia sebagai langkah terburu-buru.

Selain itu, India menerusi Menteri Luar, Subrahmanyam Jaishankar turut menolak Idea NATO Asia sambil menyatakan pendirian India untuk tidak menjadi sekutu mana-mana perikatan ketenteraan.

“Kami tidak mempunyai visi strategik yang sedemikian dalam fikiran,” ujarnya.
India dan Jepun, bersama Amerika Syarikat dan Australia, adalah sebahagian daripada kumpulan Quad yang ditubuhkan sebagai pengimbang terhadap pengaruh China.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini