comscore
Tumpuan :
Dunia

Singapura sedia mengalu-alukan PM baharu pada Rabu

Foto: Reuters

SINGAPURA: Selepas hampir dua dekad, Singapura akan menyaksikan satu peristiwa bersejarah pada petang Rabu apabila republik itu melantik perdana menteri baharu.

Dalam peralihan kepimpinan yang lancar, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong, 51, akan menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang telah berkhidmat sebagai perdana menteri sejak tahun 2004. Upacara angkat sumpah akan berlangsung pada 8 malam di Istana.

Wong, seorang penjawat awam sebelum menceburi arena politik pada tahun 2011, dilihat sebagai calon perdana menteri selepas dinamakan sebagai pemimpin pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada April 2022, selepas Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat berundur daripada peranan itu.

Penyerahan teraju pucuk pimpinan itu disahkan selepas kenyataan pada 15 April apabila Lee mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 15 Mei.

Wong yang mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen (MP) PAP, akan menggantikannya.

Pada Isnin (13 Mei), Lee secara rasmi telah memaklumkan kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam mengenai hasratnya untuk meletak jawatan dan menasihatkan Tharman untuk menjemput Wong, yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Wong yang juga MP GRC Marsiling-Yew Tee telah menerima jemputan Tharman dan seterusnya memaklumkan kepada presiden tentang barisan Kabinet baharu beliau, yang juga akan mengangkat sumpah pada 15 Mei.

Senarai itu menyaksikan perubahan yang minimum dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Lee sementara itu akan dilantik sebagai Menteri Kanan dalam barisan kepimpinan baharu dan akan kekal sebagai Pengerusi Majlis Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan.

Dalam sidang media pada Isnin, Wong menyatakan beliau berhasrat untuk “mengimbangi keperluan demi kesinambungan dan pembaharuan” dengan barisan Kabinet baharu ketika kerajaan menghampiri penghujung penggalnya, dengan pilihan raya umum akan datang perlu diadakan menjelang November 2025.

Wong menekankan bahawa Kabinetnya akan memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat Singapura seperti kos sara hidup, pekerjaan, inisiatif ‘Forward Singapore’ dan rancangan jangka sederhana lain. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini