NEW YORK: Bekas Senator AS, Bob Menendez, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah melibatkan jongkong emas dan wang tunai.
Hakim Mahkamah Daerah AS, Sidney Stein, menyatakan bukti terhadap Menendez adalah kukuh dan menegaskan bahawa beliau telah mengecewakan rakyat di New Jersey.
“Pada satu ketika, anda berubah menjadi seorang ahli politik yang korup,” kata Stein sebelum menjatuhkan hukuman.
Menendez, 71, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, didapati bersalah atas tuduhan pemerasan, konspirasi, menghalang keadilan, dan bertindak sebagai ejen asing.
Pendakwaan mendakwa beliau menerima suapan termasuk jongkong emas, sebuah Mercedes-Benz untuk isterinya, serta lebih AS$480,000 wang tunai yang ditemui di kediamannya.
Pendakwa mengesyorkan hukuman 15 tahun, tetapi peguamnya menyifatkannya sebagai kejam bagi seseorang seusianya.
Meninggalkan mahkamah, Menendez menegaskan dirinya menjadi mangsa konspirasi politik dan berharap Donald Trump akan membersihkan sistem keadilan.
Beliau juga sedang berusaha mendapatkan pengampunan daripada Trump selepas gagal mendapatkannya daripada bekas presiden, Joe Biden.
Ini merupakan skandal kedua Menendez dalam karier politiknya. Pada 2017, beliau pernah dibicarakan atas kesalahan rasuah, tetapi kes itu berakhir penggantungan sebelum pihak pendakwa menggugurkan pertuduhan.
Pendakwa menegaskan skandal emas dan wang tunai itu bermula sejurus selepas beliau menerima teguran rasmi daripada Jawatankuasa Etika Senat pada 2018.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.