comscore
Tumpuan :
Dunia

Suami kurung isteri 12 tahun dalam rumah

NEW DELHI: Polis India menyelamatkan seorang wanita yang dikurung oleh suaminya di kediaman mereka sejak 12 tahun lalu.

Mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan polis dan mengambil keputusan tinggal di rumah ibu bapanya.

Memetik laporan oleh India Today, wanita berusia awal 30-an itu mendakwa suaminya membiarkannya terkunci di dalam rumah mereka selama 12 tahun, iaitu sejak berkahwin.

Akibatnya, dia terpaksa menggunakan kotak kecil untuk membuang air besar dan kecil.

Menurut wanita itu, dua anak mereka akan menunggu di luar rumah selepas pulang dari sekolah sehingga suaminya pulang dari kerja, dan membenarkan mereka masuk.

“Sudah 12 tahun sejak saya berkahwin. Dia selalu mengunci saya di dalam rumah dan keadaan ini menyeksakan saya.

“Tiada seorang pun di kawasan ini yang mempersoalkan tindakannya. Anak-anak saya pergi sekolah, tetapi mereka akan berada di luar rumah sehingga suami balik kerja.

“Saya akan memberi makanan kepada mereka melalui tingkap,” katanya kepada India Today.

Bagaimanapun, pegawai kanan polis berkata, wanita itu hanya dikurung di dalam rumahnya antara dua hingga tiga minggu lalu.

“Pergerakan wanita itu dihadkan. Sebelum ini dia pernah melawat ibu bapanya.

“Suami mengurung wanita itu di dalam rumah sebelum pergi bekerja kerana dia berasa tidak selamat. Lelaki itu sudah diberi kaunseling,” kata pegawai itu kepada India Today.

Wanita itu adalah isteri ketiga kepada lelaki berkenaan.

Selepas diselamatkan, wanita itu diberi kaunseling, dan memaklumkan tidak mahu membuat laporan terhadap suaminya dan akan tinggal di rumah ibu bapanya, serta menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini