comscore
Tumpuan :
Dunia

Sunak Tangguh Pembentangan Laporan Fiskal

Perdana Menteri Britain baharu, Rishi Sunak.

LONDON: Perdana Menteri Britain baharu, Rishi Sunak mempertimbangkan untuk menangguhkan pembentangan laporan fiskal yang sepatutnya berlangsung minggu depan bagi mengisi ‘kelompangan’ sebanyak 40 bilion pound (RM217 bilion) dalam pentadbiran kewangan negara itu.

Menurut laporan The Times, Sunak dijangka bertemu Menteri Kewangan, Jeremy Hunt untuk membincangkan lebih terperinci mengenai cadangan untuk meningkatkan kadar cukai dan memberi tekanan terhadap perbelanjaan awam.

Katanya, laporan itu bagaimanapun perlu dibentangkan sebelum 3 November ini bagi memberi kesediaan kepada Bank of England mengumumkan rancangannya untuk kenaikan kadar faedah.

Menurut akhbar itu lagi, laporan fiskal terbabit bagaimanapun boleh ditolak bagi dikaji semula untuk dibentangkan sebagai belanjawan penuh.

Kemungkinan itu boleh berlaku selepas jurucakap bekas Perdana Menteri Britain, Liz Truss minggu lalu menyatakan bahawa penggantinya akan memutuskan sama ada untuk meneruskan pelan fiskal yang dijadualkan pada 31 Oktober ini.

Hunt menentang pelan pertumbuhan ekonomi Truss pada 17 Oktober lalu selepas tempoh pergolakan politik dan pasaran di UK selama beberapa minggu sehingga membuatkan pemimpin itu meletakkan jawatan beberapa hari kemudian.

Sunak, yang dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga Britain dalam tempoh dua bulan, bertindak melantik semula Hunt sebagai menteri kewangannya, iaitu langkah yang diambil bagi menenangkan semula pasaran.

Selepas pelantikannya, Hunt berkata, kerajaan akan berusaha memulihkan kestabilan, keyakinan dan pertumbuhan jangka panjang, sambil mengakui negara itu berdepan masa sukar.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini