comscore
Tumpuan :
Dunia

Suspek serangan masjid di UK terbabit dengan jenayah sama bulan lalu

FOTO: Tangkap layar CCTV

LONDON: Polis United Kingdom (UK) mengesahkan seorang suspek yang ditangkap kerana membakar seorang lelaki ketika sedang meninggalkan masjid dikaitkan dengan satu lagi serangan seumpamanya bulan lalu.

Suspek ditahan Selasa lalu, selepas serangan di mana polis percaya mangsa disembur dengan bahan yang tidak diketahui dan dibakar ketika berjalan pulang ke rumah dari sebuah masjid di Birmingham di tengah England.

Polis anti keganasan terbabit dalam siasatan yang membawa kepada penahanan suspek.

Polis mengaitkan serangan itu dengan satu lagi serangan di Ealing, London, pada 27 Februari lalu, di mana seorang lelaki berusia 82 tahun dibakar di luar sebuah masjid.

Menurut Polis West Midlands, lelaki itu kemudian ditangkap kerana disyaki terbabit dalam dua pertuduhan cubaan membunuh.

“Kami memahami sepenuhnya kejutan yang dirasai seluruh masyarakat berikutan tragedi ini dan akan terus berwaspada serta menggesa penduduk tempatan melakukan perkara yang sama,” kata Ketua Superintendan Sean Wilson.

Dalam serangan di Birmingham, mangsa melecur di mukanya dan dibawa ke hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa.

Dalam kejadian di London sebelum ini pula, suspek berbual dengan mangsa sebelum menyiramnya dengan apa yang dipercayai petrol dan membakarnya, menurut polis.

Mangsa dirawat kerana melecur teruk di muka dan lengan. – AFP

Loading...
Terkini