Tumpuan :
Dunia

Syarikat media sosial boleh berdepan denda AS$43.7 juta di Australia

Foto hiasan

CANBERRA: Firma media sosial global boleh dikenakan denda sehingga AUD$50 juta (RM196 juta) jika gagal mematuhi larangan media sosial baharu dikuatkuasakan kerajaan Australia.

Menurut undang-undang yang akan diperkenalkan mulai hari ini, akses kepada media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun disekat.

Di bawah Rang Undang-undang (RUU) itu, pemilik firma besar perlu mengambil langkah rasional menghalang kanak-kanak bawah usia dibenarkan memiliki akaun media sosial dan boleh berdepan denda sekiranya melanggar undang-undang secara sistematik.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian yang terkandung dalam perundangan untuk jenis perkhidmatan dalam talian tertentu termasuk aplikasi pemesejan, platform permainan dalam talian dan kesihatan serta pendidikan.

“Undang-undang itu meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial, bukan ibu bapa atau anak-anak, untuk memastikan langkah melindungi berkenaan dilaksana.

“Undang-undang baharu ini bertujuan menyokong ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan sihat untuk kanak-kanak Australia,” kata Menteri Komunikasi, Michelle Rowland, dalam satu kenyataan.

Australia menyusul beberapa negara lain yang cuba menyekat akses media sosial terhadap pengguna kanak-kanak dengan mencatatkan pelbagai kejayaan.

Norway menetapkan usia minimum 13 tahun untuk penggunaan media sosial, namun tinjauan mendapati lebih daripada 70 peratus kanak-kanak berusia 11 tahun di sana menggunakan platform popular itu.

Sehingga kini, tiada butiran terperinci bagaimana kaedah larangan itu akan dikuatkuasakan, walaupun kerajaan berkata peruntukan privasi baharu akan dimasukkan dalam undang-undang untuk menyokong larangan itu.

Dalam pada itu, minggu ini, Rowland memberitahu rakan sejawatnya dalam kaukus Buruh, warga Australia tidak dikehendaki memuat naik pengenalan diri.

Katanya, tidak akan ada pengecualian untuk kanak-kanak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menggunakan media sosial dan setakat ini, syarikat media sosial hanya memberikan sedikit maklum balas.

Kedua-dua platform, Meta dan X memaklumkan mereka ingin melihat aplikasi seperti Google dan Apple bertanggungjawab menguatkuasakan pengesahan umur dan bukan platformnya sendiri.

“Jika setiap aplikasi perlu melaksanakan kawalan yang sesuai mengikut umur mereka sendiri, maka beban ini akan sepatutnya ditanggung kanak-kanak dan ibu bapa untuk setiap aplikasi yang ingin digunakan kanak-kanak itu,” kata Pengarah Dasar Serantau Meta untuk Australia, Mia Garlick, dalam satu temu bual dengan Australian Broadcasting Corp.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini