Tumpuan :
Dunia

Taiwan letak tentera dalam berjaga-jaga susulan kehadiran kapal perang China

FOTO: Reuters

TAIPEI: Taiwan mendakwa tenteranya berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas melancarkan latihan kesiapsiagaan tempur susulan pengesanan kapal perang dan kapal pengawal pantai China di perairan sekitar negara itu.

Latihan terbabit turut dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera China (PLA) yang mengehadkan ruang udara di pesisir pantai China.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam kenyataan berkata, sebagai tindak balas kepada tindakan PLA berkenaan, pihaknya melancarkan latihan kesiapsiagaan tempur dengan mengambil kira ancaman musuh, keadaan cuaca dan kedudukan taktikal.

Dalam pada itu, tiada pengumuman rasmi segera daripada PLA atau media rasmi China mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan di sekitar Taiwan.

China bertegas bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan kerap menghantar jet pejuang serta kapal tentera laut untuk memperkukuhkan tuntutan kedaulatannya.

Terdapat spekulasi hangat mengenai kemungkinan China melancarkan latihan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap lawatan Presiden Taiwan, Lai Ching-te, ke Pasifik minggu lalu, termasuk dua persinggahan di Amerika Syarikat (AS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini