TAIPEI: Taiwan menutup sekolah dan pasaran kewangannya hari ini susulan Taufan Krathon yang membadai selatan dan timur negara itu.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat, taufan membawa angin dengan kelajuan 173 kilometer sejam (kmj) dan tiupan mencecah 209 kph, berada 160km di barat daya Kaohsiung selatan setakat jam 7 pagi semalam.
Taufan yang tahapnya diturunkan daripada kuat kepada sederhana mengikut sistem pengukuran Taiwan, kini dijangka tiba awal esok berhampiran Kaohsiung atau Tainan.
Agensi itu memaklumkan, ketibaan taufan berkenaan sehari lebih lewat berbanding jangkaannya sebelum ini.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan hampir 10,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko sebagai langkah berjaga-jaga.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, semalam memberi amaran bahawa taufan itu berkemungkinan menyebabkan kerosakan yang dahsyat.
Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga kerana laluan taufan itu agak jarang berlaku.
Selain itu, semua penerbangan domestik dan perkhidmatan feri terpaksa dibatalkan hari ini.
Beberapa syarikat penerbangan turut menggantung penerbangan mereka dari Taiwan ke Jepun, Hong Kong, Filipina dan Korea Selatan.
Kementerian Pertahanan mengerahkan hampir 40,000 anggota tentera untuk bersiap-sedia dalam operasi bantuan.
Sebanyak 35 kes kecederaan berkaitan taufan dilaporkan setakat malam tadi, namun tiada perincian lanjut mengenai keadaan itu.
Di Kaohsiung, pihak berkuasa mula mengagihkan beg pasir dan membersihkan saluran air untuk mengelak kejadian banjir besar seperti yang pernah berlaku ketika Taufan Gaemi melanda Julai lalu.
Taufan Gaemi adalah taufan terkuat yang melanda Taiwan dalam tempoh lapan tahun, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan ratusan cedera.
Penduduk di Kaohsiung juga membaiki tingkat rumah mereka supaya lebih utuh, mengisi beg pasir dan mendirikan penghalang sekitar kediaman masing-masing untuk menghadapi banjir.
Anggota pengawal pantai yang meronda kawasan pelancongan di Teluk Sizihwan di kawasan berkenaan, mengingatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan itu kerana ombak kuat melanda pantai. -AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa