TAIPEI: Taufan Kong-rey melanda Taiwan pada Khamis, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut dan 73 cedera akibat kemalangan yang berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang.
Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC) melaporkan radius ribut Kong-rey melebihi 320 kilometer, menjadikannya taufan terbesar yang melanda Taiwan dalam tempoh hampir tiga dekad.
Kali terakhir taufan dengan radius ribut melebihi 300 kilometer mendarat di pulau itu ialah Taufan Herb pada 1996, menurut Agensi Berita Pusat yang dikendalikan kerajaan.
Ribut itu mendarat di timur Taiwan pada sebelah petang Khamis, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).
Di tengah Taiwan, kerajaan Daerah Nantou melaporkan sebuah trak dihempap pokok di tepi jalan.
Dalam kemalangan itu, seorang wanita berusia 56 tahun dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia pada sebelah petang.
Sementara itu, 73 orang di sekitar pulau itu cedera dalam kemalangan yang dikaitkan dengan taufan berkenaan, menurut CEOC.
Ia melaporkan lebih 1,429 kemalangan, seperti pokok tumbang dan kerosakan jalan raya, sambil menambah 9,658 orang di kawasan yang terdedah kepada bencana di bandar dan daerah yang berbeza dipindahkan.
Di sekitar pulau itu, sekurang-kurangnya 207,209 isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik awal Khamis manakala sekolah dan perniagaan di seluruh Taiwan ditutup.
Pasaran kewangan juga ditutup. Cuaca buruk mengakibatkan pembatalan semua penerbangan domestik dan sekurang-kurangnya 298 penerbangan antarabangsa digantung.
Semua perkhidmatan feri rentas selat dan domestik juga digantung. Presiden Lai Ching-te, yang menghadiri mesyuarat CEOC berkata tentera komited sepenuhnya menyokong usaha pencegahan bencana. Lai turut menggesa orang ramai dan pelancong untuk mengelakkan kawasan pantai demi keselamatan mereka. — BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.