comscore
Tumpuan :
Dunia

Taufan Yagi badai selatan China, 4 maut, 95 cedera

HAIKOU: Setakat 3 petang Sabtu, Taufan Super Yagi membunuh empat orang dan mencederakan 95 yang lain di Wilayah Hainan, selatan China, kata pihak berkuasa tempatan dalam sidang media pada Sabtu, lapor Xinhua.

Lebih 526,000 orang di seluruh Hainan terjejas oleh taufan itu, menurut Jabatan Pengurusan Kecemasan wilayah.

Yagi, taufan ke-11 tahun ini, mendarat dua kali pada Jumaat, pertama melanda Wilayah Hainan dan kemudian Wilayah Guangdong.

Kebanyakan kawasan di Hainan terjejas pada tahap yang berbeza-beza, mengakibatkan kerugian kepada infrastruktur, industri dan pertanian serta menjejaskan kehidupan dan pengeluaran penduduk, menurut sidang akhbar itu.

Setakat ini, kerugian dalam kemudahan lebuh raya, pengangkutan air, pengangkutan jalan raya, penerbangan awam dan projek pengangkutan yang sedang berjalan di seluruh Hainan telah meningkat kepada sejumlah 728 juta yuan (US$102.6 juta). Antara kerugian ini, 26 jalan raya utama nasional dan wilayah serta 103 lebuh raya lain, berjumlah lebih 400 kilometer telah rosak. Stesen dan peralatan penumpang laluan air mengalami kerosakan teruk, manakala lapangan terbang dan projek pembinaan berkaitan yang sedang dijalankan juga mengalami kerugian.

Setakat 5 petang Sabtu, ibu kota wilayah Haikou memindahkan kira-kira 105,500 penduduk akibat taufan, dan lebih 400 rumah runtuh serta lebih 32,000 rumah mengalami kerosakan. Lebih 167,800 pokok di bandar itu tumbang dan 56,742 hektar tanaman terjejas, mengakibatkan kerugian ekonomi langsung lebih 26.3 bilion yuan.

Lebih 2,200 pekerja digerakkan untuk memulihkan bekalan elektrik kepada lebih 1.5 juta isi rumah yang terjejas. Menjelang 7 pagi Sabtu, lebih satu perlima daripada isi rumah yang terjejas telah disambungkan semula ke grid.

Pembaikan jalan raya juga sedang dijalankan, dengan 51 daripada 89 jalan utama yang disekat kini telah dibersihkan. Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang mengelilingi pulau itu dijangka disambung semula pada petang Sabtu, manakala perkhidmatan feri merentasi Selat Qiongzhou dijangka dimulakan semula pada petang Ahad.

Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan akan kekal ditutup sehingga tengah hari Ahad kerana sisa Taufan Yagi. Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Phoenix mula menyambung semula penerbangan secara beransur-ansur pada 10 pagi, Sabtu.

Pasukan penyelamat sedang berusaha memulihkan rangkaian komunikasi selepas lebih 12,500 stesen pangkalan rosak di seluruh Hainan, dengan Bandar Wenchang mengalami gangguan terburuk kemudahan komunikasi.

Di Wilayah Guangdong, Yagi memaksa penempatan semula 729,954 orang menjelang tengah hari pada Sabtu, menurut pihak berkuasa kawalan banjir, kemarau dan taufan wilayah itu.

Yagi juga mendatangkan bencana di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, memaksa pemindahan kira-kira 60,000 penduduk. Setakat 11 pagi pada Sabtu, lebih 107,000 isi rumah masih belum mendapat bekalan elektrik.

Hujan lebat melanda lebih 30 perbandaran dan angin kencang menjejaskan lebih 110 perbandaran di wilayah itu, dengan Perbandaran Jiao’an merekodkan hujan tertinggi pada 140.6 milimeter.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir apabila paras air di beberapa sungai terus meningkat.

Pada pagi Sabtu, Pusat Meteorologi Kebangsaan China memperbaharui amaran merah – tahap amaran tertinggi – untuk Yagi.

Ia dijangka membawa hujan lebat ke beberapa bahagian di Yunnan, Guizhou, Guangxi, Guangdong dan Hainan dari petang Sabtu hingga petang Ahad. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini