comscore
Tumpuan :
Dunia

Tawar bonus sehingga RM67 juta menerusi satu permainan 

BEIJING: 5,000 kakitangan sebuah syarikat di China, baru-baru ini ditawarkan bonus tahunan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM67 juta) menerusi satu permainan.

Permainan itu dicipta untuk memberi peluang kakitangannya membawa pulang bonus tahunan sebanyak mana yang mereka boleh kira.

Ia dianjurkan sebuah syarikat di wilayah tengah, Henan, 5 Februari lalu, hingga meraih perhatian netizen.

Dalam perkongsian tular, timbunan wang kertas 100 yuan (RM66.60) diletakkan di atas meja sepanjang 50 meter dan dimaklumkan boleh mengambil seberapa banyak wang tunai yang dapat dipegang.

Menurut saluran media, Star Video, kakitangan boleh membawa pulang jumlah wang yang mereka kira dalam tempoh diberikan.

Masa diberikan antara satu, tiga, lima, 10 dan 15 minit, dan ia diputuskan menerusi undian.

Permainan ini juga mempunyai peraturan iaitu 1,000 yuan (RM665.98) ditolak untuk setiap wang kertas yang salah dikira.

Syarikat itu menyediakan 20 kaunter wang untuk pemeriksaan terbabit.

Seorang kakitangan menjadi pemenang bertuah apabila berjaya meraih 97,800 yuan (kira-kira RM65,132.95).

Ini bukan kali pertama syarikat itu tular kerana menyediakan skim bonus akhir tahunnya.

Tahun lalu, syarikat itu memperuntukkan 61 juta yuan (RM40.6 juta) kepada 40 pekerja yang mempunyai prestasi terbaik dengan tiga jurujual teratas masing-masing menerima lima juta yuan (RM3.33 juta).

Seorang kakitangan, Feng berkata, setiap seorang daripada tiga jurujual berkenaan menjual produk bernilai lebih 100 juta yuan, tahun lalu.

Syarikat itu juga mengadakan jamuan tahunan untuk ibu bapa kakitangan.

Pemilik syarikat, Cui Peijun diberi gelaran bos paling pemurah di China.

Kemurahan hati pemilik syarikat menarik ratusan permohonan kerja yang mahu berkhidmat untuk syarikat terbabit.

Berdasarkan tinjauan Syarikat Perunding Pengurusan CIIC, 74 peratus syarikat di China memberikan bonus akhir tahun pada 2022, walaupun undang-undang buruh di negara itu tidak mengenakan syarat berkenaan.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini