Tumpuan :
Dunia

Tentera AS lancar serangan udara, gempur pangkalan IS di Somalia

Pasukan keselamatan Puntland berkumpul selepas menawan sebuah pangkalan IS di kawasan pergunungan Cal Miskaad di Bari, timur Teluk Aden, dalam bandar Bosasso, wilayah Puntland, Somalia. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara di Somalia dengan menyasarkan seorang perancang serangan kanan IS dan beberapa anggota lain dari kumpulan pengganas terbabit, semalam.

Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan serangan itu membunuh ramai individu dalam kalangan anggota tertinggi IS yang disasarkan.

“Pembunuh berkenaan, yang kami temui bersembunyi dalam gua, mengancam AS dan sekutu kami.

“Serangan ini memusnahkan gua tempat mereka bersembunyi dan membunuh ramai pengganas tanpa menjejaskan orang awam sama sekali,” katanya menerusi hantaran di Truth Social.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pula berkata serangan semalam dilancarkan di Gunung Golis dan penilaian awal menunjukkan ramai militan terbunuh, sambil menambah tiada orang awam tercedera.

Sementara itu, Pejabat Presiden Somalia memberitahu Presidennya, Hassan Sheikh Mohamud, sudah dimaklumkan mengenai serangan udara itu.

Menerusi hantaran di platform X, beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi AS dalam perjuangan bersama menentang keganasan.

Menteri Penerangan, Mohamud Aidid Dirir, menjelaskan bahawa serangan itu dilakukan di Gunung Cal Miskaad yang menjadi sebahagian daripada banjaran Golis, dengan hanya menyasarkan pangkalan IS.

“Jumlah korban masih tidak diketahui kerana ia berlaku ketika gelap tetapi tentera kami di barisan hadapan dapat mendengar bunyi letupan,” katanya.

Menurut Hegseth, serangan itu berjaya melemahkan keupayaan IS untuk merancang dan melancarkan serangan yang berisiko mengancam AS, rakan sekutunya dan orang awam tidak bersalah.

“Ia menghantar isyarat jelas bahawa AS sentias bersedia mencari dan menghapuskan pengganas yang mengancam AS dan sekutu kami, walaupun kami menjalankan perlindungan sempadan yang kukuh dan banyak operasi lain di bawah kepimpinan Presiden Trump,” katanya dalam kenyataan.

AS secara berkala melancarkan serangan udara di Somalia sejak bertahun-tahun, tidak kira sama ada negara itu di bawah pentadbiran Republikan ataupun Demokrat. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini