comscore
Tumpuan :
Dunia

Terbaharu, Slovenia raih undi majoriti iktiraf negara Palestin

Foto: Reuters

LJUBLJANA: Slovenia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sejurus Parlimennya menjalankan undian besar-besaran bagi mendapatkan sokongan, sekali gus mengikuti langkah sama diambil tiga negara Eropah lain.

Kerajaan Slovenia meluluskan usul mengiktiraf negara Palestin minggu lalu dan mengemukakan cadangan itu kepada Parlimen untuk kelulusan akhir bagi membolehkan keputusan berkenaan berkuat kuasa.

Undian ahli Parlimen mencapai 52 sokongan dengan tiada sebarang penentangan bagi pengiktirafan di Parlimen yang memiliki 90 kerusi.

Ahli Parlimen yang selebihnya tidak hadir ketika sesi undi.

Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon menerusi platform X berkata, “Rakyat Palestin yang dihormati, keputusan muktamad Slovenia hari ini adalah mesej harapan dan keamanan.

“Kami percaya bahawa hanya penyelesaian dua negara boleh membawa kepada keamanan yang berkekalan di Asia Barat. Slovenia akan terus bekerja keras demi keselamatan kedua-dua negara, Palestin dan Israel,”

Foto: Reuters

Keputusan itu dibuat selepas Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, meskipun Israel mengecam tindakan berkenaan.

Sebelum ini, hanya tujuh daripada 27 anggota Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

Lima daripadanya adalah bekas negara blok Timur yang mengumumkan pengiktirafan pada 1988, selain Cyprus yang mengambil tindakan sama sebelum menyertai EU.

Pengiktirafan oleh Sweden pula dibuat pada 2014.

Amanat Perdana Menterinya, Robert Golob kepada Ahli Parlimen sebelum sesi undian, “Kami mula bercakap dengan negara sekutu yang lain mengenai pengiktirafan negara Palestin pada Februari tahun ini.

“Pada masa itu, penilaian masih belum dibuat sepenuhnya…kami memberi amaran bahawa negara di Eropah, mempunyai … kewajipan untuk bertindak,”.

Gabungan pemerintah yang diketuai Golob menguasai majoriti selesa dalam Parlimen Slovenia dan undian hanya sebagai formaliti.

Golob turut membangkitkan soal kemerdekaan Slovenia daripada negara yang menjajahnya, Yugoslavia pada 1991 dalam ucapannya di Parlimen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini