NEW DELHI: Pakistan dan beberapa negara lain dengan tegas mengutuk serangan pengganas yang berlaku pada Rabu di ibu negara Turkiye, Ankara serta menyatakan solidariti bersama Turkiye.
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 22 lagi cedera apabila seorang lelaki dan seorang wanita pengganas menyasarkan fasiliti utama Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Amat terkejut dan sedih dengan serangan pengganas di Ankara. Takziah saya ucapkan buat saudara saya Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakyat Turkiye.
“Pakistan berdiri teguh bersama saudara-saudara kami di Turkiye. Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji ini dan berdoa untuk keluarga mangsa serta pemulihan segera bagi yang cedera,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam hantaran di X.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyifatkan serangan itu sebagai “pengecut” dan menyatakan solidariti bersama kerajaan dan rakyat Turkiye.
Deeply shocked and saddened by the terrorist attack in Ankara. My heartfelt condolences go out to my dear brother President Recep Tayyip Erdogan & the people of Turkiye. Pakistan stands in complete solidarity with our Turkish brothers. I strongly condemn this dastardly act &…
— Shehbaz Sharif (@CMShehbaz) October 23, 2024
Sambil mengutuk serangan terbabit, Azerbaijan menegaskan akan sentiasa bersama Turkiye.
Somalia memuji tindakan pantas pasukan keselamatan Turkiye dalam menumpaskan para penyerang.
“Tindakan pengecut ini bukan sahaja serangan terhadap Turkiye, tetapi ancaman kepada keamanan dan keselamatan global. Somalia, yang pernah berhadapan dengan cabaran serupa, bersimpati dengan Turkiye,” menurut kenyataan Kementerian Luar Somalia.
Qatar turut menzahirkan sokongan terhadap Turkiye dalam semua langkah untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan.
Kenyataan Kementerian Luar Qatar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Turkiye. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.