
TRIPOLI: Lebih 3,000 orang maut manakala ramai lagi mangsa masih belum ditemui selepas banjir akibat Ribut Daniel yang melanda timur Libya, kata seorang pegawai pada Selasa.
Bercakap kepada Agensi Anadolu, Menteri Kesihatan kerajaan yang dilantik parlimen Othman Abdul Jalil berkata kebanyakan mangsa berada di bandar pesisir pantai Derna.
Bandar dan pekan lain yang terjejas akibat bencana pada hujung minggu itu termasuk Benghazi, Bayda, Al Marj dan Soussa.
Jalil menganggarkan jumlah penduduk yang hilang mencecah ribuan orang, tetapi enggan memberikan angka yang tepat.
Terdahulu, sumber Bulan Sabit Merah Libya memberitahu Anadolu bahawa jumlah kematian di wilayah terjejas mencecah 2,800 orang dengan kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau dihempap runtuhan bangunan kediaman.
Kira-kira 7,000 keluarga masih terperangkap di kawasan terjejas, dan operasi menyelamat sedang dijalankan untuk memindahkan mereka, kata sumber itu. – BERNAMA- AGENSI ANADOLU