KINSHASA: Tiga warga Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tentera Republik Demokratik Congo atas penglibatan mereka dalam rampasan kuasa kerajaan, Mei lalu.
Menurut Reuters yang memetik media tempatan, kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang Istana Presiden di Kinshasa, pada 19 Mei lepas, sebelum ketua mereka yang juga ahli politik Congo berpangkalan di AS, Christian Malanga terbunuh dalam serangan.
Antara yang dibicarakan termasuk anak Malanga, Marcel Malanga, Tyler Thompson, dan Benjamin Zalman-Polun.
Ketiga-tiga mereka didapati bersalah atas konspirasi jenayah, keganasan, serta tuduhan lain dan telah dijatuhi hukuman mati.
Keputusan tersebut diumumkan secara langsung di televisyen tempatan.
Selain itu, Marcel Malanga dalam keterangannya kepada mahkamah menyatakan bahawa bapanya pernah mengancam akan membunuhnya sekiranya dia enggan terlibat dalam rampasan kuasa itu.
Ketiga-tiga warga Amerika Syarikat ini merupakan sebahagian daripada 50 individu yang sedang dibicarakan atas rampasan kuasa tersebut.
Ia termasuk warganegara Britain, Kanada, Belgium, serta warga tempatan.
Perbicaraan diadakan di penjara tentera Ndolo di pinggir Kinshasa, bermula Julai lalu. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.