comscore
Tumpuan :
Dunia

Terowong ditemui di bawah sekolah PBB di Gaza

FOTO: Pemandangan Bandar Gaza, di mana difahamkan Hamas membina rangkaian terowong bawah tanah bagi melepasi sekatan Israel. – REUTERS

BAITULMAQDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemui ‘terowong buatan manusia’ di bawah salah satu sekolahnya di Gaza, di wilayah Palestin yang dikawal oleh Hamas, yang digunakan dalam peperangan menentang Israel.

Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), dalam satu kenyataan berkata, ia membantah sekeras-kerasnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan di Gaza terhadap kehadiran struktur sedemikian di bawah salah satu sekolahnya.

Kewujudan terowong’ itu adalah ‘pelanggaran serius’ terhadap kesaksamaan agensi global itu dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ia juga mendedahkan kanak-kanak dan kakitangan PBB kepada risiko keselamatan yang ketara,” menurut UNRWA.

Sementara itu, tentera Israel berkata, terowong itu sebenarnya adalah terowong yang digali oleh pejuang Palestin di Gaza.

“Hujan berkemungkinan mencipta lubang di dalam tanah yang mendedahkan struktur terowong di sebelah sekolah UNRWA di Gaza,” kata sumber tentera Israel kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, PBB tidak mendedahkan lokasi sekolah berkenaan.

Hamas, kumpulan Islam yang menguasai Gaza dan sudah pun berperang empat kali dengan Israel dalam tempoh 15 tahun lalu, enggan mengulas lanjut.

Sejak 2007, apabila Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Gaza berikutan penguasaan Hamas, pelbagai terowong digali, beberapa daripadanya melalui sempadan dengan Israel.

Semasa konflik Mei 2021, Israel melancarkan beberapa serangan terhadap apa yang dipanggil ‘Metro Gaza’ iaitu rangkaian terowong yang membolehkan pejuang bergerak tanpa dikesan oleh dron Israel dan menyerang hendap sasaran Israel.

Komander Israel bimbang Palestin boleh menggunakan terowong sedemikian untuk menculik kakitangan atau orang awam Israel untuk digunakan sebagai tebusan bagi tawar-menawar dalam pertukaran tahanan.

Israel kemudian meningkatkan kehadiran pasukannya di sekitar wilayah itu, mengukuhkan penghalang dengan dinding keluli bawah tanah, memgharapkan dapat menghalang terowong daripada sampai ke wilayah Israel. – AFP

Loading...
Terkini