SAN FRANCISCO: Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) didakwa tertelan satu daripada fon telinga tanpa wayar atau Airpods miliknya kerana menyangka peralatan elektronik itu adalah vitamin.
Kejadian yang menimpa Tanna Barker, 52, turut menjadi tular selepas dia membuat pengakuan menerusi video yang dikongsi di TikTok.
Barker menjelaskan, dia sedang berborak dengan rakannya ketika dia menanggalkan satu daripada Airpods keluaran Apple itu kerana mahu mendengar perbualan temannya dengan lebih jelas.
“Pada masa sama, dia juga mengambil ‘vitamin’ dan memasukkan ke dalam mulutnya.
“Tidak lama selepas itu, Barker baru menyedari vitamin sebenar masih berada di dalam tangannya,” lapor Android Authority.
Wanita itu bagaimanapun masih boleh ketawa apabila menceritakan semula detik lucu berkenaan.

“Saya sudah menghubungi doktor dan beberapa rakan untuk meminta nasihat mereka. Semuanya memberikan saranan yang sama iaitu menyuruh saya membiarkan ia keluar sendiri dengan najis,” menurut laporan itu.
Pada 2021, seorang lagi wanita di AS pernah berdepan situasi sama dan paling memeranjatkan apabila Airpods itu dikatakan masih berfungsi dengan baik kerana dapat merakam bunyi perutnya. – AGENSI