comscore
Tumpuan :
Dunia

Tetamu majlis perkahwinan terima cenderahati beg LV, rantai emas 

Foto: Reuters

NEW DELHI: Tetamu majlis perkahwinan anak lelaki individu terkaya Asia, Anant Ambani dan pasangannya, Radhika Merchant terus menjadi tumpuan dunia, apabila penganjurannya dibuat secara mewah.

Jemputan ke majlis ini dirai dalam dua majlis penuh meriah dan lebih menarik perbelanjaan tetamu ditanggung sepenuhnya keluarga Anant dan mereka diberi cenderahati ekslusif.

Anant adalah anak bongsu kepada jutawan India, Mukesh Ambani yang dinobat lelaki terkaya di Asia oleh Forbes.

Memetik laporan oleh Wolipop, tetamu dimanjakan dengan menaiki jet peribadi, menginap dalam kapal persiaran mewah serta menerima cenderahati eksklusif seperti rantai emas dan beg Louis Vuitton.

Acara pra perkahwinan pertama diadakan di Jamnagar pada Mac dengan dihadiri selebriti terkenal Bollywood, jutawan dunia seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg serta penampilan istimewa Rihanna.

Bagi majlis kedua, Anant dan Radhika memilih pengalaman yang lebih hebat dengan membawa tetamu mereka menaiki kapal persiaran mewah, Celebrity Ascent dan belayar dari Itali ke Perancis.

Acara tiga hari itu dihadiri kira-kira 800 tetamu kenamaan termasuk selebriti terkenal seperti Kareena Kapoor, Ranbir Kapoor, Alia Bhatt dan ramai lagi.

Selain penginapan mewah, tetamu turut dihidangkan dengan persembahan hebat artis antarabangsa seperti Katy Perry dan Pitbull.

Sebelum acara di atas kapal layar, keluarga Anant menyewa 10 jet peribadi untuk menerbangkan tetamu mereka ke Barcelona ​​​​serta 12 pesawat peribadi untuk ahli keluarga dan kakitangan acara.

Setibanya di Barcelona, tetamu disambut dengan 150 kereta mewah seperti Rolls-Royce, Bentley, Mercedes-Benz dan BMW.—Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini