comscore
Tumpuan :
Dunia

Thailand ambil langkah lebih tegas terhadap penggunaan ganja

Foto: Reuters

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah mengarahkan agensi kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih tegas terhadap dadah, khususnya kanabis.

Srettha berkata bahawa masalah dadah adalah agenda nasional yang memerlukan kerjasama semua agensi untuk membanteras dadah.

Beliau juga menggesa Kementerian Kesihatan Awam untuk mengeluarkan peraturan yang jelas yang membenarkan penggunaan tumbuhan itu hanya untuk tujuan perubatan dan berkaitan dengan kesihatan.

“Masalah dadah adalah keutamaan kerajaan kerana ia merosakkan masa depan negara dan semua pihak mesti bekerjasama untuk membanteras dadah. Saya juga meminta agar ada kemajuan yang jelas dilaporkan dalam tempoh 90 hari,” katanya di X.

Srettha pada Rabu mempengerusikan mesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul, Menteri Kesihatan Awam Somsak Thepsutin, Menteri Kehakiman Tawee Sodsong, serta eksekutif agensi yang berkaitan, untuk membincangkan masalah dadah di seluruh Thailand.

Beliau berkata Kementerian Kehakiman, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik dan Biro Penindasan Narkotik akan bekerjasama memberkas pengedar dadah dan merampas aset mereka untuk menutup rangkaian dadah.
Thailand membenarkan penggunaan Kanabis pada tahun 2022, walaupun merokok di tempat awam, penjualan kepada kanak-kanak dan wanita hamil telah diharamkan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini