
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dijangka mengeluarkan arahan lanjut dalam mesyuarat kabinet dalam usaha menangani masalah jerebu.
Menurut jurucakap kerajaan, isu pencemaran PM2.5 akan menjadi fokus mesyuarat kabinet selepas Paetongtarn kembali dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, hujung minggu ini.
Tambah beliau, ini berikutan krisis pencemaran yang kian meruncing yang merentasi sempadan negara berkenaan.
Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri, Maris Sangiampongsa diminta untuk mengadakan perbincangan dengan negara Asean bagi mencari kerjasama serantau dalam menangani krisis ini di bawah rangka kerja sedia ada.
Agensi-agensi utama yang terlibat, termasuk Jabatan Kawalan Pencemaran, Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (Gistda) dan Kementerian Perindustrian, akan melaporkan perkembangan terkini menangani masalah jerebu serta meningkatkan kualiti udara.
Paetongtarn juga akan mengeluarkan arahan tambahan untuk menangani krisis jerebu, dengan memberi tumpuan kepada pengurusan kebakaran hutan di taman-taman negara dan menangani pembakaran pertanian.
Sementara itu, di Bangkok dan wilayah sekitarnya, kerajaan akan menugaskan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Jabatan Pengangkutan Darat, Polis Diraja Thai dan Kementerian Dalam Negeri untuk menangani pencemaran udara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.