BANGKOK: Thailand bersiap sedia menghadapi gelombang kedua hujan lebat dan kemungkinan banjir di wilayah selatannya minggu ini, umum pihak berkuasa semalam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Phumtham Wechayachai berkata, Pusat Operasi Bencana Nasional (NDOC) menerima ramalan cuaca yang menunjukkan hujan lebat hingga sangat lebat secara berterusan di Selatan Thailand bermula esok hingga Isnin ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, beliau berkata, antara wilayah yang dijangka terjejas termasuk Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Ranong, Trang, Pattani, Yala, dan Narathiwat.
Phumtham, yang juga Pengarah NDOC menyatakan semua agensi kerajaan sudah diarah untuk bekerjasama membantu orang awam dan kekal berjaga-jaga sehingga keadaan kembali stabil.
“Seramai 4,254 anggota dan 1,339 unit bantuan bencana, termasuk pesawat, trak air, dan bot pengangkutan, telah dikerahkan untuk membantu penduduk di kawasan yang terjejas. Operasi akan dijalankan 24/7 bagi menyediakan sokongan segera,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Jurucakap Kerajaan Sasikan Wattanachan berkata, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) bertanggungjawab dalam memulihkan ruang awam seperti sekolah, kuil, dan masjid di kawasan yang sudah surut.
Inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Penjara di bawah Kementerian Kehakiman bagi memastikan pemulihan segera dapat dicapai, katanya.
“Bantuan tambahan turut disediakan oleh institusi pendidikan vokasional dan penjara wilayah, dengan SBPAC membekalkan peralatan serta sumber logistik,” katanya.
Berhubung bantuan kewangan kepada mangsa banjir, Sasikan berkata, NDOC telah menugaskan Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan majlis perbandaran bagi menilai kerosakan serta mengumpulkan rekod untuk mempercepatkan bantuan kewangan mengikut garis panduan Kementerian Kewangan.
“Hari ini, 9 Disember, DDPM akan mengadakan mesyuarat dalam talian bagi memperincikan prosedur untuk membantu mangsa banjir di 16 wilayah yang telah diisytiharkan sebagai zon bencana.
“Ini bagi memastikan semua agensi dan anggota lapangan mematuhi protokol yang ditetapkan untuk menyalurkan pembayaran bantuan THB 9,000 kepada penduduk terjejas secepat mungkin,” katanya.
Banjir besar baru-baru ini yang melanda selatan Thailand sejak 22 Nov telah meragut 29 nyawa dan memaksa lebih 100,000 isi rumah berpindah pada kemuncaknya. Kerajaan terus melaksanakan usaha bantuan dan pemulihan bagi menyokong komuniti yang terjejas. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.