comscore
Tumpuan :
Dunia

Thailand tubuh jawatankuasa ad hoc pantau pergolakan berhampiran sempadan

FOTO: Reuters

BANGKOK: Thailand telah menubuhkan jawatankuasa ad hoc untuk menguruskan situasi yang timbul daripada pergolakan di sempadan Thailand-Myanmar.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin yang mengarahkan penubuhan jawatankuasa itu dalam catatannya di platform X berkata ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Parnpree Bahiddha-Nukara.

Srettha yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata jawatankuasa itu akan menjadi mekanisme untuk memantau, menilai dan menganalisis keadaan secara keseluruhan.

“Jawatankuasa itu juga akan bertanggungjawab memberi pendapat dan cadangan dalam menguruskan keadaan akibat pergolakan di Myanmar,” katanya.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan berkata Parnpree yang juga Menteri Luar, telah melawat daerah Mae, wilayah Tak pada Selasa untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar dan memberikan sokongan kepada agensi dan penduduk tempatan di Mae Sot.

Parnpree dan delegasinya diberi taklimat mengenai perkembangan situasi terkini di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, terutama mengenai keselamatan dan kehidupan penduduk tempatan di Mae Sot serta perkembangan mengenai Jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar, menurut kementerian itu.

Media tempatan melaporkan jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura sebagai berkata bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditugaskan untuk memantau dengan teliti keadaan di Myanmar manakala Kementerian Luar telah ditugaskan untuk menyelaras dengan masyarakat antarabangsa dan organisasi antarabangsa.

Pertempuran di Myawaddy Myanmar mula memuncak pada Jumaat lepas ketika pasukan pembangkang cuba menguasai bandar itu manakala lebih 1,200 orang telah menyeberang ke Thailand bagi mendapatkan perlindungan daripada konflik itu, menurut laporan media.  — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini