comscore
Tumpuan :
Dunia

Thaksin mungkin layak diberi parol selepas 4 bulan dipenjara

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, mungkin layak diberi parol selepas empat bulan dipenjarakan.

Menurut sumber Kementerian Keadilan, ini kerana Thaksin adalah banduan berusia yang menderita pelbagai penyakit kronik.

Menurut sumber lagi, Akta Pemulihan 2007 mewajibkan seseorang banduan menyelesaikan sekurang-kurangnya sepertiga hukuman sebelum layak dipertimbangkan untuk diikat jamin.

Sebelum ini, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, berkenan mengurangkan tempoh hukuman penjara lapan tahun terhadap Thaksin kepada setahun, menurut warta diraja yang dikeluarkan Jumaat lalu.

Ini bermakna beliau hanya perlu menghabiskan sekurang-kurangnya empat bulan tempoh hukuman sebelum mengemukakan permohonan untuk parol.

Sumber berkata, sekiranya permohonan parol Thaksin diluluskan, dia akan dibawa berjumpa pegawai parol dalam tempoh tiga hari, bagi menetapkan tarikh beliau perlu melapor diri kepada pegawai berkenaan setiap bulan.

Pegawai parol juga akan menentukan sama ada Thaksin akan diminta memakai alat pemantau elektronik.

Namun, sumber berpendapat Thaksin mungkin dikecualikan kerana menghadapi beberapa masalah kesihatan kronik.

Di samping itu, tambah sumber berkenaan, Thaksin pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan sanggup pulang ke tanah air bagi menghadapi keadilan, tanpa cuba melarikan diri dengan terus hidup dalam buangan.

Tempoh hukuman Thaksin juga mungkin boleh dikurangkan lagi, sekali gus membolehkannya dibebaskan awal apabila Thailand meraikan acara penting berkaitan institusi diraja, umpamanya ulang tahun kemangkatan Raja Rama IX pada 13 Oktober atau hari jadinya pada 5 Disember, yang juga disambut sebagai Hari Bapa Kebangsaan.

Thaksin, 74, pulang ke Thailand pada 22 Ogos lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Pada hari sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan rasuah.

Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, beliau dimasukkan ke Hospital Besar Polis kerana masalah kesihatan selepas mengadu mengalami sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia.

Pegawai perubatan penjara berkata, Thaksin memerlukan pemantauan rapi.

Awal minggu lalu, kumpulan anti-Thaksin membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan bagi menentang cubaan Thaksin mendapatkan pengampunan diraja, atas alasan tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana ia telah merosakkan tadbir urus dan reputasi negara dengan teruk.

Thaksin tiba di tanah air hanya beberapa jam sebelum Srettha Thavisin daripada Parti Pheu Thai memenangi undi di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri baharu Thailand.

Parti Pheu Thai yang disokong Thaksin, telah membentuk kerajaan campuran dengan 11 parti lain, termasuk dua parti pesaing,
Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN) yang ada hubungan dengan tentera.

Ini sekali gus mencetuskan spekulasi  perjanjian telah dibuat untuk mengurangkan hukuman penjara ke atas Thaksin. – AGENSI

Loading...
Terkini