Tumpuan :
Dunia

Tiada bukti kaitkan Modi dengan aktiviti jenayah di Kanada – Pegawai

Perdana Menteri India, Narendra Modi

TRENTON: Kerajaan Kanada tidak menemui sebarang bukti untuk mencadangkan Perdana Menteri India mengetahui tentang jenayah yang dilakukan oleh ejen India di Kanada, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan.

Penasihat Keselamatan Kanan kepada Perdana Menteri Justin Trudeau, Nathalie Drouin, turut berkata tiada bukti yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar atau penasihat keselamatan negara Ajit Doval dengan jenayah berkenaan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Drouin menyifatkan sebarang laporan yang mengaitkan ketiga-tiga mereka dengan aktiviti haram di Kanada sebagai “spekulatif dan tidak tepat.”

“Pada 14 Oktober, kerana ancaman besar yang berterusan terhadap keselamatan awam, RCMP dan pegawai kerajaan mengambil langkah luar biasa dengan membuat tuduhan umum mengenai aktiviti jenayah serius di Kanada yang dilakukan oleh ejen Kerajaan India.

“Kerajaan Kanada tidak pernah menyatakan, mahupun menyedari sebarang bukti yang mengaitkan Perdana Menteri Modi, Menteri Jaishankar, atau Penasihat Keselamatan Negara Doval dengan aktiviti jenayah serius di Kanada. Sebarang dakwaan yang bertentangan adalah spekulatif dan tidak tepat,” kata Drouin dalam kenyataannya.

Kenyataannya itu susulan artikel dalam akhbar Globe and Mail pada 19 November yang mendakwa Modi, Subrahmanyam Jaishankar, dan Ajit Doval mengetahui tentang jenayah dan intimidasi  terhadap pemisah Sikh yang dilakukan oleh ejen India di Kanada. Sumber artikel itu adalah seorang pegawai kanan keselamatan negara yang tidak dinamakan.

Pada Jumaat, media India memetik jurucakap Menteri Hal Ehwal Luar India, Randhir Jaiswal, yang menyifatkan artikel dalam Globe and Mail  itu sebagai “tidak masuk akal.”

“Kami biasanya tidak mengulas laporan media. Bagaimanapun, kenyataan tidak masuk akal seperti ini yang dibuat kepada akhbar oleh sumber Kerajaan Kanada seharusnya ditolak dengan penghinaan yang sepatutnya kepada mereka,” kata Jaiswal seperti dilaporkan akhbar Indian Express.

Namun, Trudeau dan polis negara ini  sebelum ini berkata terdapat bukti kukuh ejen India melakukan jenayah di Kanada, termasuk pembunuhan pemisah Sikh-Kanada Hardeep Singh Nijjar pada Jun 2023.

India sebaliknya menafikan sebarang salah laku.

— BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini