Israel akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron susulan keputusan beliau tidak membenarkan delegasi Israel menyertai pertunjukan pertahanan Euronaval di Perancis bulan depan.
Menteri Luar Israel, Yisrael Katz menerusi satu hantaran di X berkata, pihaknya telah mengarahkan prosiding undang-undang terhadap Macron.
Dakwanya, tindakan Perancis adalah langkah yang tidak demokratik dan tidak dapat diterima antara negara-negara sahabat.
Justeru gesaan disuarakan untuk Macron membatalkan keputusan itu secara muktamad.
Dia juga mengungkit kembali – Israel antara yang berada di barisan hadapan dalam memerangi radikalisme.
Katz berkata Perancis bersama seluruh dunia barat patut berdiri bersama Israel dan bukan sebaliknya.
Keputusan Macron itu langkah terbaharu diambil Perancis susulan kebimbangan keganasan rejim Israel dalam peperangan di Gaza dan Lubnan.
Media sebelum ini melaporkan, delegasi Israel yang mengambil bahagian dalam pameran pertahanan Euronaval di Perancis bulan depan tidak dibenarkan membuka sebarang reruai atau pameran ketenteraan.
Ia menyebabkan tujuh syarikat Israel terkesan dengan keputusan Macron itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.