Tumpuan :
Dunia

Toraji, Usagi, Man-yi ragut 7 nyawa, jejas lebih 820,000 keluarga

FOTO: REUTERS

MANILA: Angka korban rentetan gabungan taufan Toraji, Usagi dan Manyi meningkat kepada tujuh orang dengan lebih 820,831 keluarga terjejas.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) kesemua tujuh kematian berkenaan dari Lembah Cagayan dan dalam proses pengesahan.

14 orang dilapor cedera dengan 11 daripadanya telah disahkan, sembilan di wilayah Cordillera dan dua di Luzon Tengah.

Laporan mengenai tiga lagi individu cedera di Lembah Cagayan juga sedang disahkan.

Pihak berkuasa juga sedang mengesahkan laporan mengenai tiga orang hilang, masing-masing dua di Luzon Tengah dan seorang di Lembah Cagayan.

Bagaimanapun, kesemua angka ini tertakluk kepada perubahan kerana proses pengesahan masih dijalankan.

Sementara itu, NDRRMC menyatakan keluarga terjejas terdiri daripada lebih 3,031,171 orang yang tinggal di 5,859 kampung di wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Calabarzon, Mimaropa, Bicol dan Cordillera.

Setakat laporan ini, agensi itu memaklumkan bahawa 82,810 keluarga atau 288,566 orang menerima bantuan di 2,693 pusat pemindahan manakala 43,015 keluarga atau 154,291 individu menerima bantuan di luar pusat pemindahan.

Dalam pada itu, jumlah rumah yang rosak mencecah 22,421 di enam wilayah.

Turut terkesan, ladang pertanian termasuk infrastrukturnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini