KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala lebih 50 lain cedera dalam kejadian letupan bom di stesen keretapi di Wilayah Balochistan, Quetta hari ini.
Menurut laporan agensi antarabangsa kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.45 pagi waktu tempatan ketika lebih 100 orang awam sedang menunggu tren ke Peshawar di platfom stesen terbabit.
Rakaman kamera litar tertutup di stesen berkenaan memaparkan letupan itu berlaku di kawasan orang ramai bersesak.
Akibat letupan, 25 mangsa terbunuh termasuk 14 anggota tentera Pakistan dan 6 pekerja stesen keretapi dan lima orang awam.
Turut tercedera lebih 50 mangsa yang berada berhampiran kawasan letupan dan dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Siasatan mendapati letupan dipercayai angkaran pengebom berani mati dan siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), sebuah kumpulan militan pemisah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengecam tindakan kejam yang didalangi kumpulan terbabit.
Beliau juga bertekad pasukan keselamatan akan menghapuskan ancaman keganasan yang ada di negara itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.