comscore
Tumpuan :
Dunia

Tragedi Halloween: ramai ditolak, terperangkap di ruang sempit – saksi

Foto AFP

SEOUL: Sambutan Halloween di Itaewon bertukar tragedi apabila berpuluh-puluh mayat berbaris di bawah satu kain, pertolongan cemas di kaki lima dan pengunjung lari dalam keadaan panik dengan pakaian kostum masing-masing.

Sehingga kini punca kejadian masih tidak jelas, namun telah meragut nyawa hampir 150 orang dalam rempuhan di daerah kosmopolitan yang popular di Korea Selatan ini.

Berpuluh-puluh ribu orang yang kebanyakannya golongan muda dan ramai yang memakai kostum Halloween ke daerah itu untuk perayaan Halloween besar pertama sejak kebanyakan sekatan COVID-19 ditarik balik.

“Rakan saya berkata sesuatu yang mengerikan sedang berlaku di luar,” kata Jeon Ga-eul, 30, yang sedang minum di sebuah bar ketika rempuhan itu melanda.

“Saya berkata: apa yang awak cakapkan? Dan kemudian saya pergi ke luar untuk melihat dan ada orang melakukan bantuan pernafasan (CPR) di jalan,” katanya.

Daerah itu yang diabadikan menerusi drama popular K-Drama pada 2020, Itaewon Class adalah sebuah lorong yang curam dan berbelok di kedua-dua belah jalan utama.

Orang ramai sangat padat pada malam Sabtu, saksi memberitahu AFP, dengan Jeon berkata, walaupun sebelum bencana itu, dia berasa tidak selamat.

“Terdapat begitu ramai orang yang ditolak dan saya terperangkap dalam orang ramai dan saya juga tidak dapat keluar pada mulanya.

“Saya rasa seperti kemalangan pasti akan berlaku,” katanya.

Rempuhan itu berlaku di lorong sempit berhampiran Hotel Hamilton di Itaewon.

Berdepan dengan jumlah mangsa yang besar, pasukan kecemasan meminta orang yang lalu lalang untuk memberikan pertolongan cemas dan melakukan CPR ke atas mangsa di jalanan.

Mayat orang yang dihempap ​​atau dipijak hingga mati terbaring dalam barisan, ditutup dengan selimut atau kain.

Beratus-ratus ambulans berbaris di hadapan Hospital Universiti Soon Chun Hyang berhampiran Itaewon.

Di tempat kejadian, yang sudah dikepung oleh polis, muzik terus dimainkan dari beberapa bar.

Orang ramai yang lalu lalang duduk di kaki lima, memeriksa telefon mereka.

“Ia sentiasa sesak, tetapi tiada perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini,” Ju Young Possamai, 24, seorang pelayan bar di daerah Itaewon memberitahu AFP.

“Saya menghadiri banyak parti Halloween di Korea dan tidak pernah menyangka perkara seperti ini boleh berlaku di Korea, terutamanya di Itaewon,” katanya. -AFP

Loading...
Terkini