
IRAQ: Sekurang-kurangnya 100 terbunuh, 150 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah majlis perkahwinan di utara Iraq.
Mangsa termasuk pasangan pengantin.
Tragedi berlaku di sebuah dewan di Al-Hamdaniyah kira-kira jam 10.45 malam.

Pasukan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada percikan bunga api.

Bangunan terbabit juga didapati dibina daripada bahan mudah terbakar dan menyebabkannya runtuh hanya dalam tempoh beberapa minit selepas kebakaran tercetus.
“Kami melihat api marak dari dewan. Ada yang berjaya keluar dan ada yang gagal,” kata Imad Yohana, 34, yang berjaya menyelamatkan diri.

Video daripada wartawan Reuters di lokasi menunjukkan anggota bomba memanjat rangka bangunan yang hangus.
Sumber mengatakan jumlah korban dikhuatiri meningkat.

Menurut kenyataan rasmi, ambulans dan anggota perubatan dikejarkan ke lokasi oleh pihak berkuasa persekutuan Iraq dan pihak berkuasa di wilayah Kurdistan separa autonomi Iraq.