
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan hasrat untuk menutup Jabatan Pendidikan Persekutuan menerusi perintah eksekutif, dengan alasan perbelanjaan pendidikan yang tinggi tetapi prestasi pelajar yang rendah.
“Kita membelanjakan lebih banyak per kapita berbanding mana-mana negara di dunia, tetapi kita berada di kedudukan paling bawah.
“Kita mendapat kedudukan yang sangat teruk. Apa yang saya mahu lakukan adalah membiarkan negeri menguruskan sekolah,” katanya.
Trump turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kongres dan kesatuan guru bagi merealisasikan perubahan berkenaan.
Seorang pegawai White House pada Isnin, memaklumkan pentadbiran Trump sedang mengambil langkah untuk mengurangkan pembiayaan jabatan tersebut, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat bulan ini.
Langkah itu sebahagian daripada usaha Jabatan Kecekapan Kerajaan yang baru ditubuhkan oleh Trump, diketuai oleh Elon Musk, dalam mengenal pasti pembaziran dan penyelewengan dana kerajaan.
Parti Republikan sebelum ini lantang mengkritik Jabatan Pendidikan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, khususnya berkaitan pemansuhan pinjaman pelajar serta dasar kepelbagaian, kesaksamaan, dan keterangkuman (DEI).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.