Tumpuan :
Dunia

Trump, Biden janji peralihan kuasa yang lancar Januari depan

Pertemuan di Pejabat Oval menyaksikan Trump dan Biden berjanji agar peralihan kuasa pada Januari depan akan berlangsung dengan aman. FOTO: Reuters

WASHINGTON: Seteru lama politik, Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Donald Trump dan Presiden AS, Joe Biden, bertemu pada Rabu buat kali pertama sejak kemenangan Trump minggu lalu.

Dalam pertemuan di Rumah Putih itu, kedua-duanya berjanji untuk melaksanakan pemindahan kuasa yang lancar pada Januari tahun depan.

Mereka duduk bersebelahan di Pejabat Oval dalam suasana tenang, namun mereka yang turut hadir berkata ketegangan antara mereka ‘boleh dirasai’ sepanjang pertemuan berlangsung kira-kira dua jam, kata jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre.

“Ia adalah pertemuan yang penuh makna, mereka membincangkan isu-isu keselamatan negara dan dasar domestik penting yang dihadapi oleh negara serta dunia,” katanya kepada pemberita.

Biden menyatakan bahawa sokongan kepada Ukraine adalah demi kepentingan keselamatan AS kerana Eropah yang kuat dan stabil dapat mengelakkan AS dari terjerumus dalam peperangan, menurut penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Jake Sullivan, kepada pemberita.

Sementara itu, Trump berjanji untuk mengakhiri perang Russia-Ukraine dengan segera tanpa menjelaskan bagaimana beliau mahu melakukannya.

Trump memberitahu New York Post bahawa beliau dan Biden ‘berbincang secara mendalam mengenai Asia Barat’ dalam perbualan mereka.

“Saya ingin mengetahui pandangannya secara jujur dan telus mengenai keadaan sekarang dan dia memberikannya, dia sangat baik hati.

“Kami berharap dapat melaksanakan, seperti yang kami katakan, pemindahan kuasa secara lancar, melakukan segala yang mampu untuk memastikan segala keperluan anda dipenuhi,” katanya.

Sementara itu Trump berkata politik adalah sukar dan dalam banyak kes, bukan dunia yang sangat menyenangkan.

“Bagaimanapun, hari ini adalah hari yang baik, dan saya sangat menghargai pemindahan kuasa sebegitu lancar, seperti yang
dapat dicapai dan saya sangat menghargainya, Joe,” kata Trump, yang akan mengambil alih pada 20 Januari.

Biden pula mengucapkan: “Selamat datang kembali” kepada Trump manakala Wanita Pertama, Jill Biden, turut serta menyambut ketibaan Trump.

Rumah Putih menyatakan bahawa beliau memberikan surat ucapan tahniah tulisan tangan kepada isteri Trump, Melania Trump, dan ‘menyatakan kesediaan pasukannya untuk membantu bakal Wanita pertama itu dalam proses pemindahan kuasa’.

Biden, 81, menggambarkan Trump sebagai ancaman kepada demokrasi, manakala Trump, 78, menuduh Biden tidak layak memimpin. Trump sebelum ini mendakwa berlaku penipuan besar-besaran pada pemilihan Presiden AS 2020, selepas tewas kepada Biden.

Trump meraikan kemenangannya kali ini awal semalam bersama anggota Republikan lain di Dewan Perwakilan, dan berkemungkinan besar mengekalkan kawalan ke atas Dewan itu ketika keputusan pilihan raya 5 November terus diumumkan.

“Bukankah menang itu indah? Menang selalu terasa baik, Dewan Perwakilan melakukannya dengan sangat baik,” kata Trump.

Usahawan bilionair, Elon Musk turut menyertai Trump dalam pertemuan dengan ahli Republikan, selepas Trump pada Selasa melantik Musk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan.

Jabatan baharu dibentuk itu memberikan pengaruh lebih besar kepada orang terkaya di dunia yang menyumbangkan berjuta-juta dolar untuk membantu kempen pemilihan Presiden AS 2024 Trump.

Walaupun Biden berusaha menunjukkan kesinambungan dalam pertemuan itu, proses peralihan kuasa sebahagiannya terhenti, walaupun pasukan Trump telah mengumumkan beberapa anggota Kabinet presiden baharu.

Ini kerana pentadbiran baharu belum menandatangani perjanjian rutin yang menjadi sebahagian prosedur untuk ruang pejabat dan peralatan kerajaan serta akses kepada pegawai, kemudahan dan maklumat kerajaan, menurut Rumah Putih.

“Peguam peralihan Trump-Vance terus bekerjasama secara konstruktif dengan peguam Pentadbiran Biden-Harris berkenaan semua perjanjian yang dibayangkan oleh Akta Peralihan Presiden,” kata Brian Vance, jurucakap peralihan Trump, merujuk kepada undang-undang pemindahan kuasa.

Trump memenangi pilihan raya Presiden AS 2024 dengan 312 undi, melebihi ambang minimum 270 undi yang diperlukan, untuk menewaskan pesaing Demokratnya, Harris.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini