Tumpuan :
Dunia

Trump rancang untuk bercakap dengan pemimpin Kanada dan Mexico

AMERIKA SYARIKAT: Trump berkata beliau merancang untuk bercakap dengan pemimpin Kanada dan Mexico pada pagi Isnin waktu tempatan. Namun, beliau tidak menjangkakan sesuatu yang dramatik akan berlaku.

Kedua-dua pemimpin di Kanada dan Mexico telah mengumumkan bahawa mereka akan mengenakan tarif mereka sendiri terhadap AS, menyasarkan industri tertentu. Langkah ini pasti akan memberi tekanan kepada ekonomi AS.

Namun, Trump tetap berpendirian bahawa tarif adalah idea yang baik. Tetapi ini bukan semata-mata mengenai perdagangan. Beliau bercakap tentang lambakan fentanyl yang memasuki AS melalui kedua-dua sempadan serta jumlah pendatang tanpa dokumen yang semakin meningkat. Oleh itu, beliau melaksanakan langkah-langkah ini untuk cuba mengurangkan masalah tersebut.

Apa yang menarik, beliau telah diberitahu bahawa ini adalah idea yang teruk. Kumpulan perdagangan, ahli ekonomi, dan juga akhbar Wall Street Journal telah menyifatkan langkah ini sebagai “perang perdagangan paling bodoh sepanjang zaman.”

Trump juga telah mengubah nadanya. Sebelum ini, beliau berjanji bahawa sebaik sahaja memasuki pejabat, beliau akan menurunkan bil barangan runcit di seluruh AS dan dalam tempoh setahun, menurunkan harga minyak bagi mengurangkan kos bahan api rakyat. Namun, ramai yang mengatakan langkah-langkah yang diambilnya tidak akan mencapai matlamat tersebut.

Beliau sendiri telah mengakui perkara itu. Berucap di Pangkalan Tentera Udara Andrews, Trump berkata pengguna Amerika akan merasai kesannya, tetapi beliau percaya mereka akan menerimanya jika ia membawa kebaikan dalam jangka panjang.

Akibat tindakan Trump, pasaran saham niaga hadapan sudah merosot akibat perang perdagangan Trump, dan harga minyak juga meningkat. Keadaan mungkin menjadi lebih buruk jika beliau meneruskan rancangannya selepas perbincangan dengan kedua-dua pemimpin pada hari Isnin. – AL JAZEERA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini