
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) akan keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Presiden AS, Donald Trump semalam, yang mendakwa badan kesihatan global itu gagal menguruskan pandemik COVID-19 dan krisis kesihatan antarabangsa lain.
Trump mendakwa WHO tidak bertindak secara bebas daripada ‘pengaruh politik tidak wajar negara anggota WHO’ dan mengenakan bayaran tidak adil ke atas AS, yang jauh lebih tinggi berbanding sumbangan negara lain seperti China.
“WHO memperdaya kita, seperti semua orang lain memperdaya AS. Ia tidak akan berlaku lagi,” kata Trump ketika menandatangani perintah itu.
Langkah itu bermakna AS akan meninggalkan badan kesihatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tempoh 12 bulan dan menghentikan semua sumbangan kewangan.
AS merupakan penyumbang terbesar kepada WHO, manyalurkan kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan dana badan itu. Bajet WHO untuk 2024-2025 ialah AS$6.8 bilion (RM27.2 bilion)
Keputusan Trump untuk menarik diri daripada WHO tidak mengejutkan. Beliau pernah mengambil langkah sama pada 2020 ketika penggal pertama sebagai presiden, dengan menuduh WHO membantu usaha China ‘menyesatkan dunia’ mengenai asal usul COVID-19.
WHO menafikan tuduhan itu dan berkata pihaknya terus mendesak Beijing berkongsi data untuk menentukan sama ada COVID-19 berasal daripada hubungan manusia dengan haiwan yang dijangkiti atau hasil penyelidikan di makmal domestik.
Pada masa sama, Trump turut menandatangani perintah eksekutif memberikan pengampunan kepada kira-kira 1,500 penyokongnya yang menyerang bangunan Capitol empat tahun lalu.
Ia dilihat sebagai langkah awal untuk mengukuhkan pengaruhnya ke atas kerajaan AS, beberapa jam selepas kembali memegang jawatan presiden pada Isnin.
Selepas upacara rasmi, Trump menandatangani beberapa tindakan eksekutif untuk mengetatkan dasar imigresen, membatalkan peraturan alam sekitar, serta inisiatif kepelbagaian kaum dan jantina.
Beliau tidak segera melaksanakan janji menaikkan tarif, tetapi memberi amaran akan mengenakan duti 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico mulai 1 Februari.
Keputusan beliau mengampunkan penyokong yang menyerang Capitol pada 6 Januari 2021 pasti mencetuskan kemarahan polis, penggubal undang-undang, dan mereka yang terancam semasa tragedi itu.
Sekitar 140 anggota polis diserang semasa serangan itu, dengan sebahagian disembur bahan kimia dan dipukul menggunakan paip, kayu, serta senjata lain.
Empat orang meninggal dunia dalam kekacauan itu, termasuk seorang penyokong Trump yang ditembak mati oleh polis.
Pengampunan itu meliputi pemimpin kumpulan militan sayap kanan, Oath Keepers dan Proud Boys, yang sedang menjalani hukuman penjara yang panjang.
Walaupun bekas Presiden AS, Joe Biden, duduk berdekatan, Trump melontarkan kritikan keras terhadap dasar pendahulunya, termasuk imigresen dan hubungan luar negeri.
“Kita mempunyai kerajaan yang memberikan dana tanpa had untuk melindungi sempadan asing tetapi enggan melindungi sempadan AS, apatah lagi rakyatnya sendiri,” kata Trump.
Trump juga berikrar menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika dan mengulangi hasratnya untuk mengambil semula kawalan Terusan Panama, satu daripada beberapa dasar luar yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara sekutu AS. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.