comscore
Tumpuan :
Dunia

Trump tolak syor Kamala debat pada Oktober, sudah terlambat

FOTO: Reuters

WILMINGTON: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) Republikan, Donald Trump, menolak syor calon Demokrat, Naib Presiden AS, Kamala Harris, untuk berdebat buat kali kedua sebelum pemilihan 5 November depan.

Menurut Bekas Presiden itu, usul mengadakan debat itu telah ‘terlambat’ berikutan undian awal sudah pun bermula di beberapa negeri.

Terdahulu, Harris berkata beliau menerima jemputan daripada penyiar CNN untuk menyertai perbahasan pada 23 Oktober.

Ia akan menjadi perbahasan kedua calon, selepas debat yang berlangsung pada 10 September, dengan kebanyakan pakar meramalkan Harris akan menang.

Pengerusi kempen, Jen O’Malley Dillon dalam satu kenyataan berkata, rakyat berhak memperoleh peluang lain melihat Naib Presiden (Harris) dan Trump berdebat sebelum mereka mengundi.

Pada masa sama, Harris melalui catatan di platform sosial X mengharapkan Trump bersetuju mengambil bahagian dalam debat yang dirancang itu.

Trump pada perhimpunan kempen di North Carolina menyatakan keinginan berdebat dan menyifatkan perbahasan sedemikian mempunyai ‘nilai hiburan yang baik’.

Namun menurutnya ia tidak lagi berkesan kerana undi awal sudah bermula.

Tambah Trump, walaupun CNN ‘sangat telus’ ketika mengaturkan debatnya dengan Presiden AS (Biden) pada Jun, ‘mereka mungkin tidak lagi berlaku adil’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini