comscore
Tumpuan :
Dunia

Tujuh negara pertama yang dilanda kesan buruk bencana iklim bakal terima dana

Foto: United Nations/Marco Dormino

SHARM EL SHEIKH, MESIR: Negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) melancarkan inisiatif yang digelar Global Shield semasa sidang kemuncak Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 atau COP27 kelmarin, lapor laman berita Wion News.

Program itu bertujuan untuk menyediakan pembiayaan segera kepada negara dilanda kesan buruk akibat perubahan iklim.

Keputusan yang diselaras oleh negara pengerusi G7, Jerman itu akan menyediakan akses pantas kepada dana untuk perlindungan insurans dan bencana seperti banjir, kemarau dan taufan.

Program tersebut dibangunkan dengan kerjasama blok ‘V20’ iaitu kumpulan 58 negara yang terdedah kepada iklim yang dipengerusikan oleh Ghana.

Satu kenyataan daripada Berlin menamakan tujuh negara termasuk Bangladesh, Costa Rica, Fiji, Ghana, Pakistan, Filipina dan Senegal sebagai penerima pertama pakej itu yang akan dibangunkan dalam beberapa bulan akan datang.

Jerman telah menyumbang AS$175.17 juta (RM804 juta) dalam bentuk pembiayaan kepada Global Shield, manakala negara-negara lain termasuk Denmark dan Ireland menyumbang sekitar AS$41 juta (RM188.18 juta).

Bagaimanapun, beberapa negara yang terdedah (kepada bencana alam) masih belum ‘dipujuk’ (menerima dana) kerana tidak jelas mengenai ‘unsur insurans’ dalam perjanjian itu. – AGENSI

Loading...
Terkini