SINGAPURA: Tumpahan minyak sebuah kapal di perairan Singapura berjaya dikawal.
Perkara itu dinyatakan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Menurut MPA, kira-kira lima tan minyak tumpah semasa operasi ‘bunker’ membabitkan kapal pengangkut berbendera Bahamas Ines Corrado dan sebuah kapal tangki ‘bunker’ berlesen semalam, di perairan Changi di timur Singapura.
Menurut maklumat di laman sesawang agensi itu, ‘bunkering’ adalah proses membekalkan bahan api kepada kapal untuk kegunaan mereka sendiri dan Singapura adalah antara satu pelabuhan ‘bunker’ terbesar dan paling penting di dunia.
MPA melaporkan, tiada minyak kelihatan di laut atau darat setakat jam 8 pagi (waktu tempatan) dan pihak berkuasa telah memaklumkan kepada negara jiran Malaysia mengenai insiden itu dan turut melancarkan siasatan mengenai punca kejadian.
Dalam satu kenyataan yang dihantar hari ini, MPA berkata kejadian itu dilaporkan berlaku pada 5.40 petang dan operasi ‘bunker’ dihentikan serta-merta.
MPA berkata, kapalnya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5.50 petang dan menyembur bahan kimia bagi memecahkan minyak kepada titisan lebih kecil yang boleh dicampur dengan air.
Bagaimanapun, tiada kesan ke atas trafik pelayaran, dan agensi kerajaan berkaitan telah dimaklumkan untuk sentiasa memantau tompokan minyak di sepanjang pantai tempatan.
Ini adalah kejadian ketiga membabitkan kebocoran atau tumpahan minyak di perairan Singapura sejak Jun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.