WASHINGTON: Lebih 20 negara dijangka menyertai persidangan khas di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan tuntutan Laut China Selatan yang melibatkan China.
Duta Filipina ke Amerika Syarikat (AS), Jose Manuel Romualdez, menjelaskan bahawa sidang itu bertujuan mencari pendekatan rasional dalam berdepan dengan China berhubung konfrontasi di Laut China Selatan.
Beliau turut menyatakan bahawa lebih banyak negara bersatu untuk menyampaikan mesej kepada China bahawa tindakan mereka adalah tidak wajar.
“Semakin banyak negara bersatu dan menyampaikan mesej kepada China bahawa apa yang mereka lakukan jelas sekali tidak berada di landasan yang betul dalam sejarah.
Tuntutan Laut China Selatan: Lebih 20 negara sertai perbincangan khas luar UNGA
Lebih 20 negara dijangka menyertai persidangan khas di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan tuntutan Laut China Selatan yang melibatkan China. pic.twitter.com/EaqNSWpfIt
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 11, 2024
“Maka kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk memastikan mereka tidak membuat langkah salah yang kita semua mahu elakkan,” katanya.
Bagaimanapun, Romualdez tidak mengulas mengenai rancangan persidangan itu, yang dijadualkan berlangsung di luar UNGA di New York pada 22 September.
Amerika Syarikat sebagai sekutu utama Filipina juga masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai perancangan tersebut.
Pertelingkahan antara Filipina dan China di Laut China Selatan semakin meningkat, dengan kedua-dua pihak menuduh satu sama lain sengaja merempuh kapal pengawal pantai.
Selain itu, media kerajaan China pada Isnin meminta Filipina untuk mempertimbangkan masa depan hubungan dua hala.
Romualdez menyatakan bahawa Filipina berhadapan cabaran yang tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua, dengan sekitar 238 kapal China beroperasi di kawasan pertikaian.
Minggu lalu, Australia dan Jepun mengkritik China atas tindakan ‘berbahaya’ dan berunsur ‘paksaan’ terhadap Filipina, India, dan Singapura di Laut China Selatan.
Romualdez menegaskan bahawa matlamat sidang ini adalah untuk menggalakkan penyelesaian aman bagi pertikaian tersebut dan menunjukkan kepada China bahawa banyak negara tidak bersetuju dengan tindakan mereka di rantau Indo-Pasifik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.