comscore
Tumpuan :
Dunia

Turkiye adakan pilihan raya penentu untuk pilih presiden pada Ahad

FOTO : Reuters

ANKARA: Turkiye akan melaksanakan pilihan raya penentu pada Ahad untuk memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama 14 Mei lepas.

Undian bermula pada 8 pagi waktu tempatan (0500GMT) Ahad dan berakhir pukul 5 petang (1400GMT).

Lebih 60 juta pengundi berdaftar layak mengundi, termasuk 4.9 juta pengundi kali pertama dan sebanyak 191,885 peti undi disediakan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Majlis Pilihan Raya Turkiye, lebih 1.89 juta pengundi – sebanyak 1,895,430 telah mengundi di kedutaan dan pintu pemeriksaan kastam setakat 10 pagi waktu tempatan (0700GMT) pada Khamis.

Pengundian di misi diplomatik berakhir pada Rabu manakala pengundian di pintu pemeriksaan kastam berakhir 5 petang waktu tempatan (1400GMT) Ahad.

Pada pilihan raya 14 Mei, seramai 1,839,470 rakyat Turkiye di luar negara keluar mengundi. Presiden Recep Tayyip Erdogan menyeru orang ramai keluar mengundi.

“Esok, mari kita pergi mengundi bersama-sama untuk “Kejayaan Besar Turkiye. Mari kita realisasikan hasrat yang telah dizahirkan di Parlimen pada 14 Mei untuk presiden memperoleh mandat lebih kukuh kali ini,” kata Erdogan di Twitter pada Sabtu.

Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada 14 Mei untuk memilih presiden negara itu dan 600 Ahli Parlimen.

Pada pilihan raya pusingan pertama Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus dan pada pusingan penentu beliau akan berdepan ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP), Kemal Kilicdaroglu, – BERNAMA

Loading...
Terkini